
MIRI: Kerajaan digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Bebas Nasional dan reformasi menyeluruh dalam sistem pendidikan bagi menangani masalah buli di sekolah.
Gesaan itu antara perkara utama digariskan Sekretariat Solidariti Zara dalam memorandum berkait kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir yang dikemukakan kepada kerajaan, hari ini.
Memorandum yang diserahkan kepada beberapa Ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man yang turut mengambil bahagian dalam aksi solidariti itu.
Antara tuntutan lain yang turut dikemukakan dalam memorandum tersebut adalah mewajibkan latihan kepada warden, pentadbir sekolah dan pegawai penguat kuasa untuk pengendalian kes buli dan krisis secara sensitif, mangsa-berpusat dan beretika.
Selain itu, menjalankan siasatan terbuka terhadap semua pihak terlibat tanpa pengecualian dan menguatkuasakan undang-undang secara adil, melindungi saksi, tertuduh dan keluarga mangsa.
Tuntutan lain adalah menyediakan sokongan psikososial berterusan serta lindungi daripada penghinaan dan penyebaran kandungan yang menambah trauma dan keenam, melaksanakan inkues untuk mengenal pasti punca kematian, termasuk meneliti kemungkinan unsur jenayah.
Chiew berkata, beliau menghargai usaha pihak berkuasa yang telah segera menjalankan siasatan.
“Saya juga mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri yang menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan siasatan tragedi ini dijalankan secara telus, menyeluruh dan berlandaskan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa yang sama, katanya bagi mengukuhkan keyakinan orang ramai dan memastikan tragedi seumpama ini tidak berulang, beliau turut menggesa kerajaan menubuhkan satu Pasukan Petugas Rentas Kementerian dan Agensi.
Pasukan ini dicadangkan agar dianggotai oleh Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang & Reformasi Institusi).

Pasukan ini bertujuan untuk melaksanakan satu reformasi terhadap sistem sedia ada bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pelajar dari segi fizikal dan mental sentiasa terjamin di semua institusi pendidikan.
“Dengan kerjasama rapat antara kementerian, agensi dan masyarakat sivil, saya yakin kita boleh mengembalikan kepercayaan rakyat bahawa sekolah dan asrama adalah tempat yang selamat, berdisiplin dan berperikemanusiaan.
“Sebagai Ahli Parlimen, saya akan menyalurkan cadangan-cadangan ini melalui saluran kerajaan dan Parlimen, memantau pelaksanaan, serta terus berdiri bersama keluarga dan masyarakat yang menuntut kebenaran. Keadilan untuk Zara ialah komitmen bersama kita semua demi setiap anak di negara ini,” ujarnya.
Terdahulu, kira-kira 30 wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) bersama gerakan mahasiswa melalui Sekretariat Solidariti Zara berarak dari Taman Tugu ke bangunan Parlimen di sini sambil membawa sepanduk serta plakad menuntut keadilan atas kematian pelajar berusia 13 tahun itu.
Mereka kemudian menyerahkan memorandum itu kepada kira-kira 17 Ahli Parlimen dari kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang yang turut hadir ke lokasi sebagai tanda sokongan.
Oleh Liong Chai Ling