

SIBU: Jawatan Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) akan terbuka untuk ditandingi pada Mesyuarat tiga tahun sekali (TDC) parti itu yang dijadual berlangsung pada 18 hingga 19 Oktober ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon, berkata keputusan tersebut diambil selepas Majlis Tertinggi PRS menolak cadangan presiden parti yang mengemukakan senarai nama bagi beberapa jawatan, termasuk Ketua Pemuda, semasa mesyuarat khas pada 10 Ogos lalu.
Menurutnya, cadangan presiden itu hanyalah satu opsyen dan bukan keputusan rasmi Majlis Tertinggi.
“Cadangan itu dibincangkan, tetapi majoriti tidak bersetuju. Maka diputuskan semua jawatan termasuk Ketua Pemuda dibuka untuk pertandingan,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.
Kennedy menegaskan, proses itu adalah selaras dengan semangat demokrasi parti, dan mengalu-alukan sesiapa sahaja yang layak untuk menawarkan diri, termasuk ADUN Tamin, Christopher Gira Sambang yang dicadangkan oleh presiden pada mesyuarat khas tersebut.
Mengulas sebab menawarkan diri, Kennedy berkata beliau mahu meneruskan legasi kepemimpinan inklusif yang diasaskan oleh presiden terdahulu, Tan Sri Dr James Jemut Masing.
Sejak penubuhan PRS pada 2004, katanya, jawatan Ketua Pemuda secara tradisinya diisi oleh pemimpin daripada pelbagai kaum dalam parti bagi memastikan kestabilan dan keseimbangan kepimpinan.
“Saya bermula sebagai ahli Pemuda biasa sehingga menjadi Naib Ketua Pemuda, dan saya melihat kepimpinan yang inklusif ini penting untuk parti terus stabil. Pemilihan kali ini adalah peluang untuk meneruskan amalan tersebut,” katanya.
Beliau turut menghargai sumbangan penyandang sekarang, Datuk Snowdan Lawan, yang telah memimpin sayap Pemuda untuk beberapa penggal.
Kennedy yang juga Ketua Pemuda PRS Bahagian Belaga berkata, sekiranya diberi mandat, beliau mahu memantapkan sayap Pemuda sebagai platform mencungkil bakat dan melahirkan pemimpin masa depan.
Antara fokus beliau termasuk meningkatkan penglibatan belia dalam bidang pendidikan, sosioekonomi, serta program kebajikan dan kemasyarakatan, di samping merapatkan hubungan dengan parti-parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Kita mahu menarik minat golongan muda termasuk pengundi 18 tahun untuk bersama PRS. Kesetiaan dan perpaduan dalam parti mesti diperkukuh supaya pemuda menjadi aset penting dalam kekuatan parti,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pertandingan kali ini bukanlah pertembungan peribadi atau perpecahan dalaman, sebaliknya adalah satu proses sihat dalam keluarga besar PRS.
“Tiada kem. Siapa menang, dia akan jadi pemimpin kita dan semua akan memberi sokongan. Ini adalah pertandingan keluarga secara sihat,” tegasnya.
Berdasarkan perlembagaan PRS, calon Ketua Pemuda perlu memperoleh sekurang-kurangnya lapan pencalonan daripada 23 bahagian yang sah, manakala calon presiden memerlukan 13 pencalonan daripada 38 bahagian parti.
Oleh TARANI LANTING