ALEXANDRA LORNA
KUCHING: Sejumlah RM6.5 juta PPE dari China di bawah Pakej Bantuan Sarawakku Sayang yang tiba dengan menggunakan MAS Kargo pada 9 April yang lalu, telah diagihkan di 33 fasiliti kesihatan seluruh Sarawak.
Timbalan Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pembelian ini adalah susulan daripada peruntukkan Kerajaan Sarawak sebanyak RM10 juta yang telah diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
“Ini adalah untuk membeli peralatan pelindung diri (PPE) dari China dan ia telah dibawa masuk menggunakan penerbangan Mas Kargo.
“Kita akan mengagihkan kepada tiga lagi fasiliti iaitu di Dalat, Mukah dan Daro esok,” ujarnya dalam sidang media Covid-19 di Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, semalam.
Kata Uggah, dengan jumlah PPE yang telah diagihkan tersebut, bekalan PPE untuk dua bulan di Sarawak adalah mencukupi.
“Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) juga telah menempah PPE tambahan bernilai RM7 juta dari China dan bekalan ini dijangka tiba pada minggu pertama Mei.
“Kita sememangnya amat mengambil berat terhadap bekalan PPE di Sarawak.
“Dan kita amat berbesar hati dan mengalu-alukan pihak swasta di Sarawak ini terutamanya orang tempatan dalam menghasilkan PPE ini,” kata beliau.
Beliau menambah ,hal ini juga boleh dijadikan peluang perniagaan kepada mereka yang menghasilkan PPE di Sarawak di samping membantu pihak kesihatan di negeri ini.