Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Akses pendidikan STEM perlu sama rata untuk pelajar luar bandar
  • TEMPATAN

Akses pendidikan STEM perlu sama rata untuk pelajar luar bandar

Utusan Sarawak 2 days ago
ABDUL Karim berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains, Sains Sosial dan Kemanusiaan Kali Ke-4 (ICOSSH 2025) di Bintulu hari ini.

BINTULU: Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) mesti diberi akses sama rata kepada pelajar luar bandar bagi memastikan mereka tidak terus ketinggalan dalam peluang kerjaya masa depan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sekolah luar bandar sering berdepan kekangan kemudahan makmal dan peralatan yang memerlukan kos tinggi, sekali gus menyukarkan pelaksanaan mata pelajaran STEM berbanding sekolah di kawasan bandar.

“Kalau hanya sekolah bandar menawarkan STEM, anak-anak luar bandar akan terhad peluangnya untuk menjadi jurutera, doktor atau profesional lain yang memerlukan latar belakang sains dan teknologi.

“Mereka akan terus berada dalam jurang peluang yang tidak seimbang,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains, Sains Sosial dan Kemanusiaan Kali Ke-4 (ICOSSH 2025) di salah satu hotel di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata dasar pendidikan yang hanya memfokuskan pelaksanaan STEM di kawasan bandar akan menyebabkan pelajar luar bandar terhad kepada aliran sastera, yang biasanya menjurus kepada kerjaya seperti perguruan sahaja.

ABDUL Karim bersama dif-dif kenamaan merakam gambar bersama penulis-penulis buku Tumbuh-tumbuhan Ubatan Etnik Kelabit di Bario, Sarawak pada ICOSSH 2025 di Bintulu.

“Saya bukan kata menjadi guru itu tidak baik, ia memang pekerjaan yang mulia.

“Tetapi anak-anak luar bandar juga perlu diberi peluang dan ruang untuk menceburi bidang profesional seperti kejuruteraan dan perubatan,” tegasnya.

Bagi menangani cabaran ini, katanya, kerajaan Sarawak mengambil langkah berani dengan menubuhkan sekolah antarabangsa di Sarawak untuk memastikan pelajar luar bandar menikmati akses pendidikan berkualiti setara dengan rakan mereka di bandar.

“Inilah sebabnya kita tidak boleh hanya bergantung kepada dasar persekutuan.

“Kalau dasar itu tidak menyeluruh, Sarawak mesti bertindak sendiri demi masa depan anak-anak kita,” ujarnya.

Berhubung penganjuran ICOSSH 2025, Abdul Karim menyifatkan persidangan tersebut sebagai platform penting untuk menghimpunkan penyelidik, ahli akademik dan pembuat dasar dari dalam dan luar negara bagi membincangkan isu berkaitan sains, kemanusiaan serta pembangunan masyarakat.

“Ini adalah satu usaha yang amat baik sekali dan kerajaan Sarawak melalui kementerian saya sentiasa memberi sokongan agar universiti, khususnya Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) membuat penyelidikan dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan.

“Daripada hasil kajian ini, kita dapat memahami dengan lebih mendalam mengenai suku kaum di negeri ini termasuk aspek adat, budaya dan gaya hidup,” katanya.

ABDUL Karim bersama tetamu kehormat melihat buku mengenai penggunaan herba tradisional masyarakat Kelabit semasa ICOSSH 2025 di Bintulu.

Sebagai contoh, program itu turut menyaksikan pelancaran sebuah buku mengenai penggunaan herba tradisional oleh masyarakat Kelabit untuk tujuan perubatan, hasil daripada penyelidikan mendalam yang dijalankan.

Abang Johari menjelaskan bahawa inisiatif seumpama itu dapat dijalankan melalui sokongan peruntukan kerajaan Sarawak termasuk menerusi Kerusi Tok Nan di UPMS.

“Kita berharap usaha seperti ini tidak akan terhenti.

“Kerajaan negeri dan kementerian saya akan terus membantu penyelidikan demi mendalami pengetahuan mengenai kaum-kaum di Sarawak,” katanya.

Oleh Carolyne Utih

Continue Reading

Previous: RM7 juta diperuntuk bangunkan akuakultur air payau di Sarawak
Next: Pusat Falak Bintulu disasar jadi hab astronomi Islam dan astro-pelancongan bertaraf antarabangsa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.