
PETRA JAYA: Sebanyak 16 laluan di sekitar bandar raya Kuching akan ditutup secara berperingkat mulai hari ini sehingga 16 Ogos bagi memberi laluan kepada acara gilang-gemilang Perarakan Jalanan 2025 (Kuching Street Parade 2025) yang berlangsung Sabtu ini sebagai sebahagian daripada sambutan Pesta Kuching 2025.
Penutupan jalan pada 16 Ogos melibatkan Bulatan Sri Aman laluan keluar dari Jalan Padungan, susur ke Bulatan Sri Aman dari Jalan Ban Hock, Jalan Abell Utara, persimpangan lampu isyarat Jalan Abell/Jalan Petanak, Jalan Sungai Padungan, lampu isyarat Jalan Padungan, susur ke Jalan Chan Chin Ann dari Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Song Thian Cheok.

Selain itu, turut ditutup ialah lampu isyarat Jalan Bukit Mata, Jalan Borneo, susur ke Jalan Main Bazaar di lampu isyarat Jalan Lebuh Wayang/Jalan Main Bazaar, lampu isyarat SK St. Mary, Jalan Temple/Jalan Lebuh Wayang/Jalan Wawasan, susur ke Jalan Tun Abang Haji Openg dari Jalan Main Bazaar/Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan McDougall, susur ke Jalan Tun Abang Haji Openg dari Jalan Satok serta lampu isyarat di hadapan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Acara tahunan bertemakan Perarakan Cahaya (Parade of Lights) itu bakal menampilkan 54 kontinjen melibatkan agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan, kejiranan mesra serta institusi pengajian tinggi.
Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kawalselia yang juga Pemangku Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Siti Fatimah Jamail, perarakan tersebut bukan sahaja memeriahkan suasana bandar raya, malah menjadi simbol perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.
“Setiap kontinjen akan menampilkan persembahan tersendiri melalui pancaran cahaya, muzik, tarian dan pakaian berwarna-warni yang menggambarkan kepelbagaian budaya rakyat Sarawak,” katanya pada sidang media Penutupan Jalan sempena Perarakan Jalanan Kuching 2025 di sini, hari ini.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya hadir lebih awal serta mematuhi arahan keselamatan dan kawalan lalu lintas yang ditetapkan memandangkan perarakan akan melalui jalan utama di pusat bandar.
Sementara itu, Inspektor Penguatkuasaan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuching, ASP Jekeng Nyadei, berkata penutupan jalan bermula 12 Ogos ini bagi memberi laluan sesi raptai di Jalan Tun Abang Haji Openg dari 7.00 malam hingga selesai.
“Penutupan akan diteruskan pada 13 dan 14 Ogos bermula 6.00 petang hingga selesai melibatkan Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Main Bazaar, Jalan Wayang, Jalan Temple dan Jalan Tunku Abdul Rahman.
Pada hari acara, penutupan bermula seawal 4.00 petang. Justeru, orang ramai disaran merancang laluan alternatif dan berkongsi kenderaan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar Padang Merdeka,” ujarnya.
Perarakan Jalanan Kuching 2025 dijangka bermula 7.00 malam dan akan dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Bagi kemudahan pengunjung, Jambatan Darul Hana serta kawasan tempat letak kenderaan di pekarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibuka pada hari berkenaan.
Oleh Shikin Mahmud