
KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan kebanyakan mata wang utama lain, disokong keyakinan pasaran bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) akan menurunkan kadar faedah pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) September ini.
Pada jam 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.2320/2360 berbanding dolar AS berbanding penutupan Jumaat lalu pada paras 4.2420/2480.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Indeks Dolar AS (DXY) susut sedikit sebanyak 0.03 peratus kepada 98.152 mata.
“Namun, ia masih awal kerana pasaran menunggu data Indeks Harga Pengguna (CPI) AS yang akan diumumkan malam esok. Setakat ini, data pekerjaan AS menunjukkan kelemahan apabila laporan Non-Farm Payrolls (NFP) lebih rendah daripada jangkaan, selain data bulan sebelumnya turut disemak turun dengan ketara,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, meskipun ada isyarat bercampur daripada pegawai Fed sama ada untuk mengurangkan kadar faedah secara agresif atau sebaliknya, kelewatan memberi sokongan monetari mungkin menjejaskan ekonomi.
Keadaan ini, katanya, membentuk sentimen pasaran yang berhati-hati dengan pergerakan DXY kekal dalam julat sempit.
Pada penutupan dagangan, ringgit turut mengukuh berbanding mata wang utama lain.
Ia naik berbanding yen Jepun kepada 2.8657/8686 daripada 2.8720/8763 pada Jumaat lalu, meningkat berbanding euro kepada 4.9269/9316 daripada 4.9381/9451, dan menguat berbanding pound Britain kepada 5.6933/6987 daripada 5.7034/7114.
Ringgit juga mencatatkan prestasi lebih baik berbanding mata wang serantau, termasuk dolar Singapura kepada 3.2936/2973 daripada 3.3014/3064, baht Thailand kepada 13.0569/0769 daripada 13.1173/1419, rupiah Indonesia kepada 259.9/260.3 daripada 260.3/260.8, dan peso Filipina kepada 7.42/7.43 daripada 7.43/7.44. – Bernama