
MIRI: Penganjuran aktiviti sihat dan inklusif mampu membentuk disiplin, semangat daya juang, dan nilai kerjasama yang akhirnya menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih berdaya saing.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, melalui aktiviti seperti ini, masyarakat dapat berkumpul, berinteraksi, dan membina persefahaman merentasi sempadan usia, bangsa, dan agama.
Selain itu, katanya, ia menjadi dorongan kepada masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup aktif, mengutamakan kesihatan fizikal dan mental, serta keluar daripada rutin harian yang pasif.
“Sebagai Ahli Parlimen Miri, saya amat menggalakkan penganjuran aktiviti sukan dan rekreasi komuniti yang berteraskan keterangkuman dan penyertaan ramai.
” Saya melihat Larian St Dominic 3.0 sebagai contoh terbaik bagaimana sukan boleh menjadi jambatan perpaduan yang menyatukan masyarakat dengan cara yang positif dan menyeronokkan.
“Saya berharap agar acara ini dapat dijadikan tradisi tahunan yang lebih besar dan lebih tersusun pada masa akan datang, dengan penyertaan bukan sahaja daripada masyarakat Miri tetapi juga dari luar daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelepasan peserta program Larian St Dominic 3.0 anjuran Gereja St Dominic, Taman Tunku di sini, semalam.
Chiew berkata, penganjuran Larian St Dominic ini membawa makna yang besar kerana ia bukan sekadar acara sukan, tetapi juga sebuah wadah untuk memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
“Harapan saya adalah agar lebih banyak pihak, sama ada badan kerajaan, sektor swasta mahupun pertubuhan komuniti, dapat memberikan sokongan dan penajaan bagi memastikan kesinambungan program sebegini.
“Sebagai Ahli Parlimen Miri, saya akan terus komited untuk menyokong program yang mendorong gaya hidup sihat, memperkukuh perpaduan komuniti, dan mempromosikan Miri sebagai sebuah bandar yang aktif, cergas dan inklusif,” ujarnya.
Sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran ini, Chiew sendiri turut menyertai larian kategori 5 kilometer bersama para peserta.
Kehadiran Father Kelvin Chundi turut memeriahkan suasana, menunjukkan komitmen bersama pihak gereja dan komuniti untuk menganjurkan aktiviti sihat dan inklusif.
Acara ini menampilkan dua kategori iaitu larian sejauh 5 kilometer dan 10 kilometer, yang disertai oleh ratusan peserta dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang.
Oleh Liong Chai Ling