Ketika pandemik Covid-19 melanda, gaya hidup manusia di seluruh dunia berubah sepenuhnya. Manusia mula menyesuaikan diri dengan norma-norma baharu seperti cuti panjang yang tidak dijangka, bekerja dari rumah, penjarakan fizikal, penggunaan pelitup muka, penggunaan cecair pencuci tangan, pergerakan terhad dan banyak lagi.
Meskipun demikian, kelangsungan hidup perlu berterusan. Justeru teknologi mengambil tempat paling besar dengan di dalam kehidupan manusia ketika ini. Mahu atau tidak, manusia mula memanfaatkan sepenuhnya Internet of Things (IoT) bagi pelbagai urusan.
Menurut Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA), Dr. Zaidi Razak, sebagai peranti yang boleh dikesan dan berhubung dengan internet, IoT digunakan dengan meluas di dalam pengurusan Covid-19.
Telefon pintar merupakan antara yang IoT yang paling banyak digunakan untuk penjejakan digital kerana peranti ini dapat mengesan, merekod dan melaporkan maklumat penting (seperti lokasi, nombor telefon, nama pengguna, tempat dilawati, dan suhu badan) secara cepat dan tepat.
“Aplikasi-aplikasi telefon pintar seperti MyTrace, MySejahtera, COVIDTrace, Qmunity, dan Digital Surveillance digunakan secara sangat meluas. Aplikasi-aplikasi ini mencatatkan jutaan rekod pengesanan kontak sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan,” kata beliau.
Melalui aplikasi-aplikasi ini, kawalan pergerakan ke dalam negara/negeri serta antara daerah juga dapat dijalankan dengan lebih berkesan. Aktiviti melanggar peraturan semasa dapat dilaporkan dan tindakan dapat diambil dengan cepat.
Beliau menambah kata, setiap aplikasi laman sesawang dan mobil Sarawak memainkan peranan masing-masing untuk menyokong dan melengkapkan keupayaan Jawatankuasa Pungurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi menangani penularan jangkitan Covid-19 di Sarawak.
Malah ia juga memainkan peranan penting di dalam aspek seperti kesihatan, kewangan, sosial dan keseluruhan urusan.
Kesihatan
Di dalam aspek kesihatan, antara aplikasi yang paling berguna di dalam pengurusan Covid-19 kata Dr. Zaidi adalah:
enterSarawak dan eHDF yang dibangunkan oleh SMA yang digunakan di pintu-pintu masuk untuk mengawal kemasukan pengembara ke Sarawak dan memastikan mereka mematuhi arahan kawalan pergerakan. Aplikasi ini membolehkan pihak-pihak berkuasa mengesan kontak jangkitan yang diimport dengan segera dan dengan membanteras perebakan wabak Covid-19 dengan pantas.
CovidTrace merupakan aplikasi pengesanan kontak menggunakan teknologi bluetooth serta kod QR pada pejabat kerajaan, premis perniagaan dan tapak pembinaan untuk mengenalpasti sesiapa yang terdedah kepada orang yang kemudiannya didapati dijangkiti Covid-19. Aplikasi ini akan memaklumkan pengguna untuk tindakan segera sekiranya terdedah kepada jaangkitan.
Qmunity merupakan satu lagi aplikasi pengesangan kontak menggunakan kod QR dan tertumpu kepada premis perniagaan. Aplikasi ini agak popular dengan bilangan pegnguna yang menjangkau hampir setengah juta orang.
Aplikasi CovidTrace dan aplikasi Qmunity merupakan aplikasi yang dilaksanakan secara CSR oleh syarikat milik kerajaan dan syarikat swasta dan telah digunakan sejak awal tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum adanya aplikasi lain seperti MySejahtera yang berfungsi seperti CovidTrace dan Qmunity.
Aplikasi i-Alerts bagi Jawatan Kuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak menerima laporan berkenaan insiden bencana secara terus daripada rakyat dan mengambil tindakan sewajarnya. Aplikasi ini juga menyebarkan pengumuman, maklumat statistik dan arahan rasmi kepada pengguna.
Kewangan
Dari sudut kewangan pula, aplikasi dompet digital Sarawak Pay telah membolehkan transaksi urusan jual beli dan bayaran bil dilaksanakan secara online dan selamat, tanpa kontak.
Aplikasi ini turut membolehkan Bantuan Khas SarawakKu Sayang (BKSS) 2.0 disalurkan dengan segera kepada semua penjaja dan peniaga-peniaga kecil yang layak. Bilangan pengguna aplikasi ini telah meningkat dengan ketara dalam tempoh pandemik ini dan kini telah mencecah 430 ribu orang.
Sosial
Dari segi sosial, aplikasi media sosial seperti facebook, whatsapp, wechat digunakan untuk mendekatkan orang ramai secara maya.
Aplikasi ini turut digunakan oleh peniaga bagi mempromosi serta menjual barangan atau perkhidmatan mereka secara atas talian, khususnya semasa PKP.
“Selain itu, aplikasi persidangan video seperty zoom, Google Meet, Webex dan sebagainya digunakan secara meluas untuk urusan sosial mahupun urusan rasmi,” kata Dr. Zaidi.
Secara keseluruhan kata beliau, semua aplikasi ini memberi manfaat kepada warga Sarawak sepanjang tempoh pandemik ini.
“Selain aplikasi-aplikasi yang dinyatakan, terdapat juga pebagai aplikasi atas talian yang memudahkan aktiviti harian seperti belian secara atas talian, servis penghantaran makanan atau barang runcit dari kedai atau pasar raya,
menjalankan aktiviti e-commerce atau jual-beli secara atas talian, berkomunikasi,
menjalankan aktiviti kerja, sekolah dan pelajar menjalankan aktiviti pendidikan dan pembelajaran secara atas talian dan sebagainya,” ujar beliau.
Pelbagai fungsi lain
Sebagai tambahan kata Dr. Zaidi, di dalam pengurusan bencana, IoT juga digunakan dalam aplikasi seperti iHydro oleh Jabatan Pengairan dan Saliran untuk memperoleh data paras air dan taburan hujan di stesen-stesen telemetri Jabatan tersebut.
Data-data paras air sungai dan taburan hujan digunakan untuk mengawas dan memberi amaran awal kejadian banjir atau kemarau.
IoT turut digunakan dalam pelbagai aplikasi Bandar Pintar dan Selamat seperti sistem Lampu Isyarat Pintar, Pengangkutan Awam, Rumah Pintar, Perkakasan Pintar, Sistem Bangunan Hijau, bangunan Pintar, dan sebagainya.
Jam tangan digital seperti Fitbit dan Smartwatch pelbagai jenama adalah peranti IoT boleh pakai di mana data-data seperti kadar denyutan jantung, jumlah langkahan, aktiviti bersenam dan lain-lain diambil dan diguna untuk pengurusan kesihatan si pemakai.
Oleh Haini Darani