
ANKARA, Turki: Gempa bumi bermagnitud 6.1 menggegarkan kawasan Sindirgi di barat Turki pada Ahad, menurut Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turki (AFAD), mengorbankan sekurang-kurangnya seorang dan mencederakan puluhan yang lain.
Gempa itu dirasai di beberapa bandar di bahagian barat negara itu, termasuk Istanbul dan destinasi pelancongan terkenal, Izmir.
“Seorang lelaki berusia 81 tahun meninggal dunia sejurus selepas diselamatkan dari bawah runtuhan,” kata Menteri Dalam Negeri Turki, Ali Yerlikaya kepada wartawan di Sindirgi, pusat gempa tersebut.
Beliau menambah bahawa seramai 29 orang lagi cedera, namun tidak mengalami kecederaan serius.

Gempa tersebut menyebabkan 16 bangunan runtuh di Sindirgi dan kawasan sekitarnya, termasuk empat buah bangunan yang didiami, antaranya sebuah bangunan tiga tingkat di pusat bandar.
Beberapa mangsa berjaya diselamatkan dari bawah runtuhan bangunan tiga tingkat itu, yang menempatkan enam penghuni. Mangsa yang meninggal dunia turut ditemui tertimbus di bangunan yang sama sebelum diselamatkan.
Terdahulu, Datuk Bandar Serkan Sak memberitahu saluran swasta Turki, NTV: “Empat orang telah berjaya dikeluarkan dari runtuhan.” Usaha menyelamat dua lagi mangsa masih diteruskan, tambahnya.
Seramai 319 anggota penyelamat telah dikerahkan ke zon terjejas, menurut AFAD.

Gempa berlaku pada 7:53 malam (1653 GMT), diikuti sekitar 20 gegaran susulan dengan magnitud antara 3.5 hingga 4.6, kata AFAD.
Turki terletak di atas beberapa garis sesar geologi aktif yang telah menyebabkan pelbagai bencana sebelum ini.
Pada Februari 2023, satu gempa bumi di barat daya negara itu meragut sekurang-kurangnya 53,000 nyawa dan memusnahkan bandar Antakya, tapak bandar purba Antioch.
Pada awal Julai lalu, satu lagi gempa bumi bermagnitud 5.8 di rantau yang sama mengakibatkan satu kematian dan mencederakan 69 orang. -AFP