BEKENU: Pengurusan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak digesa mengehadkan satu siaran sahaja daripada stesen radionya pada waktu tengah hari membabitkan siaran Iban (WAIfm) agar dapat didengarkan di seluruh negeri ini.
Tr. Ayai Sawing Zon Saeh (Daerah Subis) ketika dihubungi berkata, bermula Ogos ini RTM Sarawak di bawah pengurusan baharu mengarahkan semua stesen WAIfm negeri ini beroperasi serentak pada waktu tengah hari.
Katanya, ini bermaksud semua WAIfm seluruh negeri beroperasi serentak pada waktu tengah hari dari jam 12.00 tengah hari hingga 3.00 petang adalah melibatkan WAIfm Kuching, Sri Aman, Sibu, Bintulu, Miri dan sebagainya.
“Beroperasi secara serentak akan menjadi semua pendengar tidak mendapat maklumat dengan berita, ‘pesan pemati’/sakit, pengumuman sesuatu perkara dan sebagainya dari bahagian wilayah lain.
“Ini bermaksud pendengar di Miri tidak dapat mengetahui perkara itu kerana terhad di Miri sahaja,” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Sentuhan Sayangi Sebauh Bintulu Jame Stephen (Daerah Sebauh) berkata, rangkaian RTM WAIfm Bintulu hanya dapat didengar di Bintulu sahaja.
“Maka apa yang berlaku di luar Bintulu akan tidak kita ketahui kerana liputan itu terhad kepada bahagian wilayah sendiri.
“Jika RTM Sarawak menetapkan satu stesen beroperasi secara giliran, maka liputan lebih luas dapat didengar oleh masyarakat wilayah lain,” katanya lagi.
Sementara itu, wakil Gerempong Pemansang Nembiak Baru (PBRN) Pakan Julau Jamal Abdullah @ Tedong Chakaw berkata, siaran radio Iban di RTM Sarawak melalui WAIfm masih diperlukan sehingga kini.
“Siaran rancangan seperti dahulu lebih sesuai, tetapi sebaik sahaja pengoperasian semua stesen radio WAIfm di Sarawak siaran Iban waktu tengah hari dilaksanakan awal bulan ini pendengar merungut kerana mereka mendapat info terhad di wilayah masing-masing.
“Siaran WAIfm Sibu hanya dapat didengar di Sibu dan ini pasti mereka yang tinggal di Miri, Kuching, Bintulu dan sebagainya tidak dapat perolehi pelbagai maklumat dari kawasan lain,” jelasnya.
Justeru itu, ketiga-tiga mereka yang berasingan daerah (Miri, Bintulu dan Pakan) bersependapat, iaitu masalah timbul hanya waktu tengah hari kerana semua stesen radio beroperasi serentak dan pendengar wilayah masing-masing merasakan mereka menghadapi kekurangan maklumat penting.
Oleh Adum Liu