
SARATOK: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kru kapal Moi Soon 2 yang dilaporkan hilang semalam selepas terjatuh dari kapal dalam kejadian di Dermaga Batu, Sungai Krian, memasuki hari kedua hari ini, namun mangsa masih belum ditemui.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi bermula seawal 6.58 pagi dengan pasukan diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Freddy John bersama tiga anggota bergerak ke Pos Kawalan Bomba (PKB) di Sungai Krian.
Pasukan penyelamat terdiri daripada JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Lembaga Sungai-Sungai (LSS) Sarawak mengadakan taklimat pada 9.00 pagi di Pusat Kawalan Operasi Bomba (PKOB) untuk menyelaras strategi pencarian.
Operasi dilakukan melalui pencarian permukaan air merangkumi radius 1 kilometer ke hulu dan hilir sungai.
“Seramai tiga anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok dan seorang kakitangan LSS Sarawak telah menaiki bot bomba dengan radius 1km ke hulu sungai.
“Manakala empat anggota APM Saratok dengan radius 1km ke hilir sungai dan empat anggota PDRM dengan radius 200 meter ke hulu dan hilir sekitar Dermaga Batu Saratok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi dihentikan sementara pada 11.30 pagi dan bersambung semula pada 2.00 petang di kawasan yang sama. Namun sehingga 5.00 petang, tiada petunjuk baharu ditemui.
“Operasi hari kedua ditangguhkan pada 5.00 petang dan akan disambung semula esok,” katanya.
Mangsa warganegara Myanmar yang dikenali sebagai Thu Htoo Aung, 20 tahun adalah merupakan kru kapal Moi Soon 2 dilaporkan terjatuh ke dalam sungai sekitar 9.30 pagi semalam.
Ketika kejadian mangsa sedang melakukan kerja penyelenggaraan di atas kapal. Menurut rakan sekerja, mangsa tidak timbul ke permukaan sejurus jatuh dan gagal dikesan meskipun usaha awal dilakukan oleh kru kapal lain.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa hanya memakai seluar panjang coklat dan kasut getah pendek tanpa berbaju, sekali gus menyukarkan operasi kerana tiada objek terapung yang boleh dijadikan petunjuk..
Oleh Adi Safarman