
KUCHING: Projek peluasan kemudahan gudang MASKargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) kini sedang berjalan dan dijangka siap pada April 2026, langkah yang dijangka akan meningkatkan keupayaan pengendalian kargo udara Sarawak secara signifikan.
Projek bernilai RM2.5 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh MASKargo akan memperluaskan ruang pengendalian kargo sedia ada daripada 33,000 kaki persegi kepada 45,000 kaki persegi yang membolehkan kecekapan yang lebih tinggi dalam memproses penghantaran domestik dan antarabangsa.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, yang baru-baru ini melawat lapangan terbang tersebut berkata dalam kenyataan media, kerajaan Sarawak menyokong sepenuhnya usaha memperkukuh infrastruktur logistik lapangan terbang dan komited bekerjasama rapat dengan agensi persekutuan serta pihak berkepentingan industri penerbangan.
“Kami mengalu-alukan inisiatif peluasan oleh MASKargo dan akan melakukan bahagian kami bagi memastikan lapangan terbang memenuhi jangkaan tempatan dan global,” katanya.
Sehingga Mei tahun ini ujarnya, KIA telah mengendalikan 22,557,173 kilogram kargo, dengan 90.3 peratus merupakan penghantaran domestik dan 9.7 peratus antarabangsa.

Inisiatif ini tercetus selepas Kementerian Pengangkutan, dua tahun lalu mengadakan sesi libat urus dengan persatuan logistik, persatuan penghantaran dan pemain industri tempatan yang menyuarakan kebimbangan berhubung kesesakan kargo di KIA.
Susulan itu, kementerian berhubung dengan agensi berkaitan bagi mencari penyelesaian sehingga terhasilnya pelan peluasan ini.
Semasa lawatan, beliau telah diberikan taklimat mengenai kerja-kerja penambahbaikan di KIA yang sedang dan akan dilaksanakan.
Antaranya, projek penambahbaikan KIA yang sedang berjalan, naik taraf kemudahan bernilai RM50.8 juta yang dijangka siap pada Disember 2025 serta pembinaan kawasan parkir kargo bernilai RM4.6 juta yang dijadual siap pada suku pertama 2026.
Selain itu, beliau turut meninjau projek penambahan kemudahan mesra keluarga termasuk bilik menyusu dan zon permainan kanak-kanak, kerja menaik taraf jubin, pengurusan kesesakan di kawasan kerbside serta penyediaan ruang khas untuk perkhidmatan e-hailing dan pemasangan dinding ikonik bagi mempromosikan identiti Kuching sebagai destinasi pelancongan.
-UKAS