
SIMANGGANG: Tujuh keluarga mangsa kebakaran di Kampung Tengah di sini menerima sumbangan derma kilat berjumlah RM21,400 hasil kutipan awam selama enam hari yang diserahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Seri Lemanak, hari ini.
Ketua Kaum Kampung Tengah, Kiffle Morni berkata, kutipan derma itu digerakkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sejak 29 Julai lalu bagi membantu meringankan beban mangsa insiden kebakaran yang berlaku baru-baru ini.
“Daripada jumlah itu, lima keluarga yang rumah mereka musnah sepenuhnya masing-masing menerima RM3,852, manakala dua keluarga yang kediamannya mengalami kerosakan kecil menerima RM1,070,” katanya.
Beliau berkata, dana tersebut adalah hasil sumbangan orang awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan pihak-pihak prihatin lain.
“Saya amat menghargai keprihatinan masyarakat dan mengalu-alukan lebih ramai individu atau pertubuhan tampil menghulurkan bantuan dalam bentuk wang tunai atau keperluan asas demi membela nasib mangsa,” katanya.
Turut menerima sumbangan, Sukarelawan Anak Malaysia (Satria Sri Aman), yang menerima RM1,500 daripada Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, sebagai tanda sokongan atas usaha bantuan kemanusiaan mereka.
Kiffle turut merakamkan penghargaan kepada sukarelawan Satria Sri Aman atas komitmen mereka menguruskan agihan keperluan asas seperti pakaian, makanan dan barangan harian kepada mangsa.
Majlis penyerahan sumbangan turut diserikan dengan kehadiran pemimpin masyarakat antaranya Temenggung Mohamad Shah Achang, Pemanca Abang Norin Abang Norudin, Penghulu Zamari Morshidi, dan Penghulu Rosli Ana.
Oleh Adi Safarman