
PETRA JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh komitmen dalam memerangi rasuah serta mempertingkatkan integriti pentadbiran negeri menerusi kerjasama erat bersama kerajaan Sarawak.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya amat menghargai sokongan padu yang diberikan oleh kepimpinan negeri, khususnya Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam memastikan agenda integriti dan tadbir urus baik dapat dilaksanakan tanpa sebarang gangguan.
“Kerajaan negeri amat memberi sokongan kepada SPRM Sarawak terutama sekali dalam usaha kita untuk meningkatkan integriti dan juga membanteras rasuah di Sarawak. Saya melihat banyak inisiatif kerajaan Sarawak dalam usaha untuk meningkatkan integriti terutama sekali dalam penubuhan Ombudsman di Sarawak ini.
“Ini merupakan satu penubuhan yang memang saya secara peribadi menyokong tentang penubuhan ini bagi kepentingan kerajaan dan rakyat Sarawak.
“Usaha-usaha lain memang mendapat sokongan dan tidak ada sebarang gangguan daripada kerajaan Sarawak dalam hal-hal berkaitan dengan siasatan dan sebagainya.
“Oleh itu, antara perkara yang ditekankan oleh Premier Sarawak, beliau berkata kita perlu terus menjalankan siasatan terhadap mana-mana terutama sekali penjawat awam yang melakukan kesalahan rasuah dan salah guna kuasa di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi hari ini.

Tambahnya, antara kes yang sering disiasat di Sarawak melibatkan penyalahgunaan kuasa, penerimaan rasuah berkaitan projek serta tuntutan palsu yang membawa kepada ketirisan kewangan negeri dan menjejaskan kesejahteraan rakyat.
Jelasnya, ketirisan ini berlaku apabila projek tidak disiapkan, tidak dilaksanakan langsung, atau tidak menepati piawaian dan akhirnya kesan ditanggung rakyat termasuk risiko kemalangan atau kerugian infrastruktur.
Beliau turut menekankan bahawa SPRM kini memberi tumpuan terhadap siasatan berprofil tinggi dan pengembalian aset yang diperoleh secara tidak sah termasuk di Sarawak.
Mengulas mengenai Ombudsman Sarawak, beliau menyokong penuh penubuhan badan itu yang merupakan satu-satunya di Malaysia dan berperanan memantau kepatuhan terhadap tatakelola dan urus tadbir kerajaan.
Beliau turut menyifatkan tahap kes rasuah di Sarawak tidak membimbangkan dengan kepimpinan negeri yang memiliki kehendak politik untuk memastikan segala amanah dapat dilaksanakan dengan berkesan.
-UKAS