
Gambar hiasan. Foto BERNAMA
WASHINGTON: Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) merancang untuk membina sebuah reaktor nuklear di permukaan Bulan, menurut ketuanya Sean Duffy, sekali gus mengesahkan laporan media sebelum ini, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
“Kita kini berlumba ke Bulan, bersaing dengan China. Dan untuk membina pangkalan di Bulan, kita perlukan tenaga.
“Teknologi pembelahan nuklear ini amat penting, dan kita telah membelanjakan ratusan juta dolar untuk mengkajinya.
“Kini kita akan melangkah lebih jauh daripada sekadar kajian. Sudah tiba masanya untuk kita mula melaksanakan teknologi ini dan menjadikannya kenyataan,” kata Duffy, yang juga memangku jawatan Setiausaha Pengangkutan Amerika Syarikat.
Portal berita Politico sebelum ini menyiarkan laporan mengenai rancangan itu pada Isnin, memetik dokumen yang mencadangkan bahawa agensi angkasa lepas AS berhasrat mendapatkan cadangan kukuh daripada industri dalam masa 60 hari untuk reaktor 100 kilowatt yang akan mula beroperasi menjelang 2030.
Pelan itu dikemukakan di tengah-tengah persaingan yang semakin sengit dengan China, yang turut merancang menghantar misi berawak ke Bulan dalam tempoh masa yang hampir sama.
Dokumen NASA menyatakan bahawa negara pertama yang berjaya mengoperasikan reaktor di Bulan berkemungkinan “mengisytiharkan zon larangan yang akan menghalang AS secara signifikan”, menurut Politico.
Reaktor itu dijangka menyediakan bekalan kuasa stabil yang diperlukan untuk misi-misi akan datang di Bulan.
Amerika Syarikat kini menyasarkan untuk menghantar angkasawan kembali ke Bulan buat kali pertama dalam tempoh lebih 50 tahun.
Di bawah program Artemis, NASA merancang untuk mendaratkan kru di permukaan Bulan pada 2027.
Bagaimanapun, jadual itu telah ditangguhkan beberapa kali dan masih belum jelas sama ada Presiden AS, Donald Trump akan terus menyokong usaha itu. – Bernama-Dpa