
SIBU: Polis berjaya menumpaskan kegiatan mencuri kepala paip air di daerah ini susulan penangkapan tiga suspek yang dipercayai terlibat dalam siri kecurian tersebut.
Penahanan suspek terbabit telah membawa kepada penyelesaian kes dan penghentian aktiviti yang sebelum ini meresahkan penduduk setempat.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, pada 8.41 pagi Jumaat lalu, polis telah menerima satu laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun berhubung kehilangan tiga unit kepala paip air di kediamannya Jalan Hua Kiew.

“Siasatan awal mendapati beberapa kes kehilangan kepala paip air turut dilaporkan di beberapa kediaman lain di sekitar kawasan Bukit Assek. Sehubungan itu, satu task force dibentuk untuk menangani isu ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pada 1.50 hingga 3.15 pagi semalam, tangkapan telah dibuat ke atas tiga suspek yang berumur lingkungan 13 tahun sehingga 14 tahun dan berjaya merampas barang kes berupa 29 unit kepala paip air jenis tembaga dianggarkan berat lebih kurang 3 kilogram.
“Kesemua suspek telah dipohon reman dan diluluskan selama tiga hari sehingga 8 Ogos. Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman dengan pemenjaraan sampai tujuh tahun atau hendaklah juga dikenakan denda jika disabitkan kesalahan,” katanya.
Zulkipli berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan akan memberikan komitmen berterusan dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
“Polis menggesa orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah bagi membantu usaha pencegahan dan pembanterasan jenayah di daerah ini,” ujarnya.
Oleh Akun Giman