Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEKNOLOGI
  • TECHON 2025 himpun 220 peserta dalam dan luar negara
  • TEKNOLOGI

TECHON 2025 himpun 220 peserta dalam dan luar negara

Utusan Sarawak 1 day ago
SIMBOLIK… Dato Sri Roland Sagah Wee Inn menyempurnakan simbolik pelancaran TECHON 2025.

KUCHING: Persidangan Antarabangsa Teknologi dan Inovasi (TECHON) 2025 anjuran Politeknik Mukah Sarawak membuka tirainya hari ini di hotel terkemuka di sini, dengan penyertaan lebih 220 peserta dari dalam dan luar negara.

Persidangan ini memberi tumpuan kepada tema ‘AI, TVET dan Tenaga Boleh Diperbaharui: Memandu Masa Depan Lestari melalui Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)’, bertujuan membincangkan peranan teknologi dan inovasi dalam mencapai pembangunan mampan.

Disokong oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) serta Business Events Sarawak (BES), edisi ke-8 persidangan ini menghimpunkan pengkaji, pendidik, pembuat dasar dan pemain industri dari negara seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Jepun, India, Maghribi, Ghana dan Oman.

Menteri MEITD, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, penganjuran TECHON 2025 selari dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030 dengan memberi fokus kepada keterangkuman sosial, kemampanan alam sekitar dan kemakmuran ekonomi melalui agenda inovasi.

UCAPAN… Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berucap pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Teknologi dan Inovasi (TECHON) 2025 anjuran Politeknik Mukah Sarawak, hari ini.

“Sarawak Sustainability Vision 2030 menjadi tonggak utama dalam mendepani cabaran dunia hari ini. 

“Kita perlu membina masyarakat yang berteraskan data dan inovasi, dan ini hanya boleh dicapai jika kita memperkukuh sistem pendidikan teknikal dan vokasional seperti TVET,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan tidak boleh dilihat dari sudut akademik semata-mata, sebaliknya perlu diperkasa dengan kemahiran berterusan agar tenaga kerja sentiasa relevan dan diterima oleh industri.

Sehubungan dengan itu, teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) memberi kesan besar kepada landskap pendidikan masa kini, justeru penganjuran persidangan ini menjadi medan penting untuk menyatukan pakar dari pelbagai latar belakang.

Roland turut menekankan bahawa AI bukan hanya membawa impak kepada pelajar semata-mata, tetapi turut membuka ruang kepada para akademik untuk meningkatkan keupayaan dalam menyampaikan pendidikan yang lebih dinamik dan kontekstual.

SIDANG MEDIA… Dato Sri Roland Sagah Wee Inn bercakap pada sidang media.

“Walaupun seseorang itu memiliki kelayakan akademik, mereka masih perlu menjalani latihan peningkatan kemahiran. 

“Inilah peranan penting institusi teknikal dan TVET. Bagi melatih serta menaik taraf kemahiran individu agar mereka lebih relevan dan diterima industri. 

“Seperti yang kita tahu, industri hanya mampu beroperasi dengan tenaga kerja yang cukup mahir,” tegas beliau pada sidang media selepas majlis perasmian tersebut. 

TECHON 2025 bukan sekadar platform pembentangan kertas kerja akademik, malah menjadi jambatan strategik untuk pertukaran idea, rangkaian kerjasama dan pengukuhan keupayaan tenaga kerja dalam bidang kejuruteraan, teknologi, pendidikan, sains komputer, polisi dan sains sosial.

Antara tokoh antarabangsa yang dijemput sebagai penceramah utama termasuk Dr. Rahimah Abdul Hamid dari UTeM Malaysia; Profesor Teruaki Ito dari Universiti Matsuyama, Jepun; Dr. Noriah Abdul Malek dari Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti; Profesor Dr. Atul Kumar dari India; Dr. Andi Asrifan dari Indonesia; serta Dr. Samira Raki dari Maghribi.

Persidangan ini turut menampilkan kerjasama strategik dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Negeri Makassar (UNM) dan Sekolah Kebangsaan Perdagangan dan Pengurusan Agadir (ENCG), Maghribi.

TECHON 2025 akan berlangsung selama dua hari dan dibuka kepada penyertaan fizikal serta dalam talian, sekaligus membuktikan keupayaan Sarawak menganjurkan acara hibrid bertaraf global.

Oleh Adele Rissa

Tags: Teknologi

Continue Reading

Previous: Roket Long March-12 berjaya hantar satelit internet ke angkasa
Next: Pendidikan teknikal dan vokasional diperkasa melalui TECHON 2025 di Kuching

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.