
SEMOP: Pendidikan adalah sesuatu yang paling utama dalam kemajuan sesebuah masyarakat dan negara, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol.
Katanya, pendidikan akan dapat memberi peluang kepada seseorang untuk mengubah hala tuju hidup mereka kepada yang lebih baik dan akan memberi manfaat kepada komuniti secara menyeluruh.
“Kalau kita kaji semula di antara faktor utama kebangkitan ekonomi gergasi negara China, adalah penekanan terhadap kepentingan pendidikan pelajar mereka.
“Ini kerana, belia mahupun pelajar yang berpendidikan dan berkemahiran adalah modal insan yang paling bernilai dalam menyumbang kepada ekonomi negara.
“Transformasi pendidikan di China dari kaedah tradisional ke arah pendidikan yang lebih sistematik iaitu persiapan pelajar dalam menghadapi dunia teknologi yang sebenar,” katanya.


PENGISIAN AKTIVITI… Antara pengisian aktiviti para pelajar SMK Semop di Program Jerayawara PRO-DR, semalam.
Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop dan Setiausaha Lembaga Amanah Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh wakil beliau, Pegawai Daerah Daro, Zul Usup pada majlis perasmian Program Jerayawara Project Of Dream Realized (PRO-DR) bertempat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semop, semalam.
Katanya, contohnya adalah para pelajar tidak lagi belajar dalam menghafal formula matematik akan tetapi diajar bagaimana matematik dapat menjadi jalan penyelesaian kepada sesuatu masalah.
“Selain transformasi tersebut, penekanan Kerajaan China dan negara maju lain terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga menjadikan ekonomi mereka berdaya saing dalam peringkat global.
“Ini juga menjadi salah satu dari intipati terpenting visi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam mentransformasikan Sarawak kepada sebuah negeri yang paling maju dengan rakyat yang celik ilmu digital.
“Selain dari pembangunan kemudahan dan fasiliti yang di rancang dan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri khususnya untuk kawasan Semop, pembangunan pelajar Semop dalam pendidikan STEM juga tidak dilupakan,” katanya lagi.
Tambahnya, kerajaan Sarawak melalui TEGAS Community Innovative Learning (TCIL) tidak putus-putus dalam usaha membangun dan memperkasa bakat pelajar dalam pendidikan STEM.
“Kerjasama berterusan diantara TEGAS dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak ini kita dapat lihat sekarang dengan penglibatan pelajar secara amali untuk pendidikan STEM bukan sahaja untuk program ini akan tetapi program STEM anjuran sekolah dan TEGAS yang lain sebelum ini.
“Maka dengan pembukaan sebuah lagi Makmal Think & Thinker (T&T) di SMK Semop pada hari ini adalah sebuah Langkah yang besar yang menjanjikan sesuatu gelombang pembangunan pendidikan STEM untuk pelajar kita di kawasan Semop ini.
“Selain itu, Think & Thinker Mini Lab SMK Semop ini juga membuktikan kerjasama TEGAS dan JPN Sarawak akan kekal,” katanya lagi.
Katanya, TEGAS turut menjadi sebuah agensi di bawah kerajaan Sarawak yang mengendalikan program yang membuka peluang pendidikan dalam bidang Teknikal (TEVT) sejak penubuhannya pada 2012 di Sarawak.
“Diantara program tersebut ialah TEVT With You, Seminar Belia TEGAS dan juga PRO-DR.
“Saya difahamkan penyertaan pelajar kita ke program TEGAS ini amat memberangsangkan. Syabas saya ucapkan kepada pelajar kita,” katanya.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Udin Bujang; Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Daro; Rody Bujang dan Pengetua SMK Semop, Syaidin Mostapa.
Oleh Earl Anek