
PANTU: Semangat luar biasa dan minat mendalam terhadap sukan dart mendorong dua beradik remaja, Adam Harris Iswandi, 16, dan Harith Haziq Iswandi, 15, untuk menyerlah dalam Kejohanan Dart Tertutup Sarawak sempena Pesta Pantu 2025 yang berlangsung meriah di Dewan Sri Pantu, semalam.
Meskipun masih bersekolah, pasangan adik-beradik dari Kampung Lemanak Simanggang ini mencuri perhatian apabila menjadi antara peserta termuda yang bertanding menentang pasukan berpengalaman dari seluruh negeri dalam kejohanan sempena Pesta Pantu 2025.
“Saya mula minat bermain dart sejak umur 14 tahun, masa tengok abang main di rumah. Dari situ kami mula berlatih sama-sama dan sertai beberapa pertandingan kecil sekitar Sri Aman,” kata Harith.
Rekod pencapaian Harith tidak kurang hebat, apabila berjaya mara ke suku akhir dalam Pertandingan Dart Pesta Saratok dan seterusnya ke separuh akhir dalam Kejohanan 1000 Liga Peringkat Bahagian Sri Aman baru-baru ini, satu pencapaian membanggakan bagi pemain seusia beliau.
Sementara itu, abangnya Adam menyifatkan kejohanan kali ini sebagai peluang keemasan untuk mengasah kemahiran dan menimba pengalaman di peringkat lebih tinggi.
“Kami tidak menyangka dapat mara hingga ke pusingan kalah mati. Walaupun tidak menang, kami sangat puas hati kerana dapat belajar banyak perkara baharu, tambah keyakinan dan jumpa ramai pemain hebat dari tempat lain,” jelas Adam yang turut aktif dalam sukan tinju dan pernah mewakili Bahagian Sri Aman di Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak.
Apa yang lebih mengagumkan, kedua-dua pasangan adik beradik ini mengimbangi kecemerlangan dalam sukan dengan komitmen terhadap pelajaran.
“Kami pastikan latihan tidak mengganggu pelajaran. Dart hanyalah hobi, tapi ia bantu kami latih disiplin dan fokus,” kata Adam.
Bagi Harith, yang menghidap asma kronik, sukan dart menjadi alternatif terbaik untuk kekal aktif tanpa membebankan kesihatan.
“Dart sesuai dengan keadaan saya. Ia ajar kami cara bertenang dan hormat lawan, walaupun dalam suasana pertandingan,” ujarnya.
Sokongan keluarga turut menjadi faktor utama kejayaan mereka. Ibu bapa pasangan beradik ini sentiasa hadir memberi sokongan moral, menyediakan peralatan latihan serta sanggup melakukan perjalanan jauh demi minat anak-anak.
“Mak ayah belikan papan dart, bawa kami ke kejohanan… semua kerana mereka percaya pada potensi kami,” kata Adam.
Dalam pada itu, pihak penganjur turut memuji keberanian dan semangat juang dua remaja ini, yang dianggap sebagai ikon belia positif dan inspirasi kepada rakan sebaya.
Majlis penangguhan kejohanan disempurnakan oleh Pegawai Daerah Pantu, Raca Mulong, yang mewakili Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan.
Oleh Adi Safarman