
SIMANGGANG: Silat bukan sekadar seni bela diri, tetapi menjadi wahana penting dalam memperkukuh perpaduan kaum dan membentuk jati diri belia Sarawak yang berbilang bangsa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, silat membawa nilai murni seperti disiplin, keberanian, kesetiaan dan hormat yang mampu menyatukan anak muda pelbagai latar belakang, selari dengan aspirasi Sarawak sebagai negeri harmoni dan maju menjelang 2030.
“Silat mengajar kita menjadi insan yang berdisiplin, beradab dan berani menghadapi cabaran. Ia bukan sekadar latihan fizikal, tetapi satu proses pembentukan insan yang berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis Pentauliahan Pesilat Pertubuhan Persaudaraan Silat Mayang Mengurai Sarawak di Dewan Suarah di sini, malam tadi.
Beliau turut menyifatkan majlis pentauliahan itu sebagai detik bersejarah yang menandakan pencapaian penting para pesilat yang telah melalui fasa latihan penuh pengorbanan dan disiplin tinggi.
“Tahniah kepada semua pesilat yang menerima pentauliahan hari ini. Ini bukan noktah perjuangan, tetapi permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar. Teruskan latihan dan jadikan pengiktirafan ini sebagai pemangkin untuk memberi sumbangan kepada masyarakat,” ujarnya.
Menurut beliau, kehadiran peserta dari pelbagai daerah seperti Kuching, Kabong, Bintangor, Sibu, Kapit dan Bintulu mencerminkan semangat silat yang kian subur dalam kalangan masyarakat Sarawak.
“Saya dimaklumkan oleh Pengerusi kita, Cikgu Jailani, bahawa peserta malam ini datang dari pelbagai pelosok negeri. Ini membuktikan silat bukan hanya warisan tetapi sudah menjadi sebahagian daripada denyut nadi masyarakat kita,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa dalam dunia moden yang penuh dengan cabaran teknologi dan hiburan yang melalaikan, peranan pertubuhan silat amat penting untuk membina benteng nilai dalam diri anak muda.
“Pertubuhan seperti Persaudaraan Silat Mayang Mengurai menjadi medan penting untuk membentuk anak muda yang berpijak di bumi nyata, berakar pada budaya dan bercita-cita tinggi,” tambahnya.
Dalam ucapannya, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada jurulatih dan tenaga penggerak persaudaraan silat yang gigih membimbing generasi muda dengan penuh kesungguhan.
“Sumbangan saudara dan saudari sangat besar maknanya. Kalian melahirkan pesilat bukan hanya handal di gelanggang, tetapi juga tinggi nilai budinya dan mulia akhlaknya,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan untuk terus menyokong usaha pembangunan belia dan seni warisan seperti silat, sama ada dari segi latihan, infrastruktur mahupun kerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta.
“Pertubuhan seperti ini harus terus diberi ruang dan sokongan agar dapat mencipta impak positif yang lebih besar kepada masyarakat,” tegasnya.
Oleh Adi Safarman