
KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia meningkatkan keupayaan teknikal dan keanggotaan pasukan susulan kemungkinan pelaksanaan projek tenaga nuklear di negara ini.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, secara asasnya semua anggota bomba telah menerima pendedahan berkaitan bahan radioaktif pada peringkat latihan asas.
“JBPM ketika ini mempunyai sebanyak 17 Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) yang melibatkan kira-kira 429 anggota di seluruh negara dan mereka sememangnya telah terdedah kepada isu berkaitan radioaktif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba 2024 di Dewan Utama, Wisma Wanita, Petra Jaya hari ini.
Menurutnya, sekiranya loji tenaga nuklear dibina akan wujud keperluan untuk menambah baik aspek kelengkapan termasuk penggunaan pengesan khas berkaitan radiasi bergantung kepada lokasi pembinaannya.
“Walaupun anggota kita telah dilengkapi dosimeter, penyediaan teknologi dan peralatan lanjutan seperti pengesan automatik serta sistem amaran awal perlu disediakan oleh pihak industri dan bukannya ditanggung sepenuhnya JBPM,” tegas beliau.
Tambahnya, balai bomba yang terletak berhampiran dengan loji nuklear kelak perlu dilengkapi dengan sistem pengesanan dan penggera automatik bagi memastikan sebarang kebocoran atau insiden berkaitan dapat dikesan awal dan ditangani segera.
“Saya lebih percaya apabila teknologi loji itu dibangunkan nanti, pihak industri perlu memainkan peranan menyediakan kelengkapan berkaitan keselamatan dan bukan hanya bergantung kepada JBPM,” jelas beliau.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan bahawa kerajaan sedang meneliti kemungkinan pelaksanaan projek tenaga nuklear di Semenanjung Malaysia dan Sabah bagi memenuhi permintaan bekalan tenaga tetap yang semakin meningkat.
Antara faktor utama yang sedang dipertimbangkan ialah kesesuaian lokasi berhampiran sumber air seperti sungai, laut atau tasik besar selaras dengan keperluan sistem penyejukan loji nuklear.
Oleh Shikin Mahmud