
PETRA JAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak bakal menerima satu unit helikopter baharu jenis AugustaWestland AW139 bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi kebakaran hutan dan Monsun Timur Laut.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, helikopter itu merupakan satu daripada dua unit tambahan yang diperoleh menerusi Perjanjian Konsesi Helikopter.
“JBPM ketika ini memiliki empat helikopter AW139 yang beroperasi di Semenanjung. Dengan dua penambahan baharu di bawah konsesi ini, salah satunya akan kita tempatkan di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba 2024 di Dewan Utama, Wisma Wanita Petra Jaya hari ini.
Menurut beliau, aset udara sedia ada JBPM Sarawak kini terdiri daripada dua helikopter MRM03 termasuk satu yang kembali beroperasi sepenuhnya selepas menjalani pembaikan menyeluruh susulan kerosakan lantai akibat karat.
“Saya telah meminta kerjasama Pengarah Udara dan Pengarah Bomba Negeri untuk memastikan tahap kesiapsiagaan helikopter kekal tinggi khususnya dalam menghadapi kebakaran hutan dan Monsun Timur Laut di Sarawak, Sabah dan Labuan,” ujarnya.
Mengulas cadangan menambah pangkalan udara baharu, beliau menjelaskan JBPM masih mengekalkan pangkalan sedia ada di Miri sekurang-kurangnya dalam tempoh lima tahun akan datang selepas kajian menunjukkan lokasi itu paling strategik.
“Buat masa ini, Miri kekal paling sesuai berdasarkan jumlah kes, masa tindak balas dan jarak liputan. Kajian juga mendapati Kuching tidak begitu sesuai.
“Namun, untuk perancangan jangka panjang, antara lokasi yang lebih sesuai ialah Sibu atau Bintulu kerana kedudukannya di tengah negeri,” katanya.
Oleh Shikin Mahmud