
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi merakamkan ucapan tahniah sempena ulang tahun kelahiran ke-75 Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Seiring dengan ucapan tersebut, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah menzahirkan doa Premier Sarawak sentiasa berada dalam rahmat dan perlindungan Allah SWT, dikurniakan kesihatan tubuh badan, serta kekuatan dan kebijaksanaan dalam meneruskan amanah memimpin negeri.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut merakamkan penghargaan terhadap kepimpinan Premier Sarawak yang telah membawa banyak perubahan positif kepada Sarawak. Di bawah pentadbiran beliau, negeri ini terus mencatat kemajuan dalam bidang ekonomi, infrastruktur, pendidikan, serta teknologi hijau dan digital.
Kepimpinan beliau juga disifatkan sebagai tegas namun inklusif, berteraskan semangat kebersamaan dan kemajuan untuk semua lapisan rakyat. Usaha gigih Premier Sarawak dalam memperkukuh kedudukan Sarawak dalam Persekutuan menerusi perjuangan berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) turut diberi perhatian tinggi oleh pelbagai pihak.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah berharap agar Premier Sarawak terus diberi kekuatan dan petunjuk dalam menerajui Sarawak ke arah negeri maju, sejahtera dan bersatu padu demi manfaat generasi kini dan masa depan.
-Astana Negeri Sarawak