PKTP 2025: Kursus Asas Tanaman Hidroponik terima tajaan RM13,500

Facebook
WhatsApp
UNTUK ALBUM…..Timbalan Pengarah Kolej Komuniti Sarikei, Ting Ee Lee (tengah) bergambar bersama Pengarah Program PKTP 2025, Nurmawati Bohari (duduk, kanan) Guru Besar SK Agama (MIS) Sarikei, Jamaluddin Sahari, Penolong Kanan HEM, Dalila Abdul Muttalip (kiri) dan para peserta. Foto Kolej Komuniti Sarikei 

SARIKEI: Program Kemahiran Tahfiz Pondok (PKTP) 2025 iaitu Kursus Asas Tanaman Hidroponik telah mendapat tajaan penuh sebanyak RM13,500 daripada Kerajaan Madani, kata Timbalan Pengarah Kolej Komuniti Sarikei, Ting Ee Lee. 

Katanya, program yang berlangsung hampir dua bulan di Sekolah Kebangsaan (SK) Agama (MIS) Sarikei ini disertai 15 orang murid. 

“Mereka telah mengikuti latihan berkaitan tanaman hidroponik, pengurusan baja, kawalan serangga serta kemahiran digital menggunakan Canva dan Excel.

“Program ini telah mendapat tajaan penuh sebanyak RM13,500 daripada Kerajaan Madani melalui Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK),” katanya ketika berucap mewakili Pengarah Kolej Komuniti Sarikei di majlis penutupan program tersebut, semalam. 

SERAH PROJEK….Nurmawati Bohari menyerahkan projek hidroponik kepada Jamaluddin Sahari sambil disaksikan oleh Ting Ee Lee. Foto Kolej Komuniti Sarikei 

Katanya, pelaksanaan program di sekolah rendah ini selaras dengan dasar ‘TVET untuk semua’, iaitu usaha JPPKK untuk memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat termasuk murid sekolah untuk memperoleh kemahiran teknikal sejak peringkat awal.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada penceramah jemputan, Awang Mohammad Izzat Al Hadi Awang Salleh atas kesudian berkongsi ilmu dan pengalaman sepanjang program ini.

“Tahniah kepada semua peserta dan terima kasih kepada semua yang terlibat khususnya Pengarah Program, Nurmawati Bohari, warga sekolah dan semua pihak yang menjayakan program ini,” katanya.

Oleh Earl Anek