
LIMBANG: Jaringan perhubungan darat di wilayah utara Sarawak bakal diperkukuh dengan pembinaan Lebuh Raya Trans Borneo, yang diumumkan sebagai salah satu projek utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) baru-baru ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, berkata projek itu menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan akses pengangkutan lebih lancar dan menyeluruh di seluruh negara, termasuk di kawasan luar bandar dan sempadan negeri.
“Alhamdulillah, Lebuh Raya Trans Borneo telah pun dibentangkan dalam RMK13 oleh Perdana Menteri. Ini membabitkan jajaran dari Kuala Baram di Miri, merentasi Baram, menyambung ke jambatan ASEAN, dan dari Tedungan ke bandar Limbang, yang Insya-Allah akan diperluas dan dinaik taraf,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Kebudayaan Sempena Pesta Makan Tahun Kedayan 2025 yang diadakan di Dewan Kampung Tuna Gumaya Benuas, Limbang malam tadi.
Hasbi menjelaskan bahawa projek itu bakal diteruskan dari Kuala Baram, Miri hingga ke Tedungan, dan seterusnya menghubungkan daerah Pandaruan di Limbang yang bersempadan dengan Daerah Temburong, Brunei Darussalam.
Projek tersebut akan dibangunkan dengan kos RM1.5 bilion oleh Kerajaan Persekutuan, dan sebelum ini dikenali sebagai Lebuh Raya Pan Borneo semasa pentadbiran kerajaan terdahulu.
Lebuh Raya Trans Borneo sepanjang 96.3 kilometer ini dijangka menjadi nadi penting kepada hubungan darat antara Sarawak, Sabah dan Brunei, sekali gus memberi manfaat besar dari segi sosioekonomi dan logistik serantau.
Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, serta para pemimpin masyarakat tempatan.
Oleh Adeng Edrus