SIBU: Persatuan Peniaga Muslim Taman Selera Harmoni (PPMTSH) Sibu berasa bangga apabila 13 gerai di Taman Selera Harmoni (TSH) dicalonkan untuk menerima pengiktirafan Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bagi peniaga TSH, pengerusinya Abdul Taib Rosli berkata, ia merupakan pengiktirafan tertinggi yang dikeluarkan oleh KKM.
“Usaha memperkasakan TSH telah bermula hampir tiga tahun lepas selepas TSH dinaik taraf oleh Majlis Perbandaran Sibu (MPS) hasil usaha Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dr Annuar Rapa’ee merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka.
“Jawatankuasa TSH pada ketika itu mula memperkenalkan kepada peniaga TSH untuk menyertai Kursus Pengendalian Makanan, mengambil suntikan anti-tifoid agar mematuhi peraturan di bawah Akta Makanan 1983.
“Pada mulanya agak sukar bagi membentuk dan melaksanakan usaha tersebut tetapi hasil bantuan daripada Dr. Annuar melalui Pusat Khidmat beliau, KKM dan MPS, usaha ke arah memperkasakan peniaga Taman Selera Harmoni mula membuahkan hasil,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurut Abdul Taib, Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan dari KKM telah melakukan pemeriksaan kebersihan dan kualiti makanan ke atas TSH baru-baru ini.
Katanya, menerusi pemeriksaan itu, pihak KKM telah menaikkan purata pemarkahan TSH pada tahun ini kepada 98.1 peratus, berbanding 87.3 peratus pada tahun lepas.
“Bagi peniaga Taman Selera Harmoni ia merupakan pengiktirafan tertinggi yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Kriteria utama pengiktirafan BeSS adalah keadaan permis yang bersih, makanan yang selamat, makanan yang sihat dan penyediaan makanan dalam saiz hidangan yang tepat untuk keperluan pelanggan,” katanya.
Beliau berkata lagi, TSH terdiri daripada lima gerai pelbagai, 15 gerai minuman dan 30 gerai makanan pada mulanya hanya mendapat purata markah 73.5 peratus pada tahun 2018/2019.
Tambahnya, jawatankuasa pada ketika itu telah dijenamakan semula dengan didaftarkan sebagai PPMTSH di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
“Kita juga mendaftarkan semua peniaga makanan dan minuman dalam sistem Pendaftaran Premis Makanan dan Minuman di bawah Kementeri Kesihatan Malaysia,” ujarnya.
Selain itu, peniaga TSH juga menyahut seruan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg supaya beralih kepada Ekonomi Digital dengan mendaftar di aplikasi tempahan makanan.
“Oleh itu, pihak jawatankuasa persatuan telah memain peranan membantu peniaga TSH mempromosi produk mereka di laman sosial dan media masa,” katanya.