KUCHING: Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad telah menerima anugerah Koperasi Terbaik Negeri Sarawak bagi tahun 2019 daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Ibu Pejabat Koperkasa baru-baru ini, Setiausaha Koperkasa, Abdoll Kader Osman telah menyampaikan anugerah tersebut kepada Pengerusi Koperkasa, Fathi Hambali sebagai satu acara simbolik penyerahan anugerah daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kepada Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad.
Sebelum ini, anugerah tersebut telah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar kepada Setiausaha Koperkasa, Abdoll Kader Osman dalam satu majlis sambutan Hari Koperasi Malaysia 2020.
Dalam majlis Hari Koperasi Malaysia 2020 tersebut, Koperkasa turut menerima wang berjumlah RM10,000 sebagai insentif kepada anugerah Koperasi Terbaik Negeri Sarawak bagi tahun 2019.
Pada tahun ini, sambutan Hari Koperasi Malaysia 2020 yang bertemakan ‘Koperasi Prihatin Kemakmuran Bersama’ telah diadakan pada 26 Julai 2020 bertempat di Hotel Tenera, Bangi, Selangor Darul Ehsan.
Turut hadir, Hari Koperasi Malaysia 2020 ialah Pengurus Besar Koperkasa, Haji Jaya Suria Muss.