BAGAIKAN sifat magnet, normal baharu dapat menarik perilaku rakyat daripada sifat kebiasaan kepada normal baharu yang mungkin agak sukar pada mulanya tetapi lancar selepas itu bak kata pepatah ‘alah bisa tegal biasa’.
Hakikatnya, kita sedang bergelut dengan cabaran yang tidak pernah dialami. Bukan hanya di Malaysia, bahkan seluruh dunia turut menghadapi cabaran yang sama.
Norma baharu seperti penjarakan fizikal, penjagaan kebersihan diri, penggunaan pembasmi kuman dan tidak bersesak dalam sesuatu kompaun harus menjadi mantera harian kepada penduduk Malaysia.
Penyesuaian dalam mengadaptasi normal baharu ini bukan sahaja boleh membantu mencegah jangkitan COVID-19 bahkan penyakit lain, di samping menjadikan rakyat lebih sihat, bersih dan kuat.
Baru-baru ini, Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapa’ee mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Ali.
Lawatan diadakan bertujuan untuk memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi sekolah rendah yang mula dibuka secara berperingkat mulai 15 hingga 22 Julai lalu.
“Pematuhan SOP adalah tanggungjawab kita bersama untuk membendung penularan wabak pandemik Covid-19 terutama di sekolah.
“Oleh itu, kita merakamkan ucapan terima kasih dan syabas kepada semua guru dan ibu bapa yang memberi komitmen tinggi mematuhi SOP PKPP,” jelasnya.
Dr Annuar yang juga Menteri Muda Kerajaan Tempatan itu berkata, sebelum ini penggunaan pelitup muka amat digalakkan ketika berada di kawasan awam.
Beliau pernah mencadangkan supaya penggunaan pelitup muka dijadikan mandatori jika berada di kawasan awam.
Katanya, kawasan awam tersebut adalah seperti pasar, kedai kopi, restoran dan juga pusat beli-belah.
Sementara itu, Timbalan Bendahari Agung Parti Progresif Demokratik (PDP) Datuk Seri Lau Kueng Chai berkata, rakyat harus meneruskan kelangsungan hidup dengan menjalani norma baharu kehidupan serta mentaliti baharu.
Katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga telah melancarkan SOP untuk kelas sekolah yang dimulakan semula.
“Selepas ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sekolah-sekolah di seluruh negara ditutup.
“Semua sekolah di seluruh negara telah dibuka semula secara berperingkat mulai 15 hingga 22 Julai lalu.
“Justeru itu, KPM telah melancarkan SOP untuk kelas sekolah sebagai langkah pencegahan penularan pandemik berbahaya itu sekolah,” ujarnya lagi.
Oleh Akun Giman