Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • PCV20 diluluskan KKM, lindungi individu seawal 6 minggu hingga warga emas
  • KESIHATAN

PCV20 diluluskan KKM, lindungi individu seawal 6 minggu hingga warga emas

Utusan Sarawak 24 hours ago
KKM luluskan penggunaan vaksin pneumokokal konjugat 20-valen (PCV20).

KUALA LUMPUR: Pfizer Malaysia mengumumkan vaksin pneumokokal konjugat 20-valen (PCV20) telah diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), untuk digunakan dalam kalangan individu seawal usia enam minggu hingga bawah 18 tahun dan dewasa 18 tahun dan ke atas.

Pfizer dalam kenyataan memaklumkan PCV20, menawarkan perlindungan terhadap 20 serotaip Streptokokus pneumoniae, bakteria yang boleh menyebabkan penyakit serius seperti pneumonia, meningitis, sepsis dan jangkitan telinga tengah.

Pengumuman itu dibuat ketika Malaysia masih berhadapan beban penyakit pneumokokal yang tinggi, khususnya dalam kalangan kanak-kanak serta warga emas, dan penyakit itu merupakan antara punca utama kematian di negara ini dengan meragut lebih 18,000 nyawa pada 2023.

Risiko jangkitan turut meningkat dalam kalangan warga emas dan penghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, penyakit jantung serta paru-paru kronik.

Ketua Kluster Pfizer bagi Malaysia, Indonesia, Singapura dan Filipina Deborah Seifert berkata kelulusan itu merupakan satu pencapaian penting dalam usaha pencegahan penyakit di Malaysia.

“PCV20 mengukuhkan komitmen kami untuk menyokong komuniti yang lebih sihat dengan membantu melindungi lebih ramai orang, merentasi lebih banyak peringkat kehidupan, daripada jangkitan yang berpotensi serius.

“Kami berbangga dapat memperkenalkan vaksin yang mencerminkan lebih dua dekad legasi dalam perlindungan pneumokokal,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Perubatan Pernafasan Profesor Madya Dr Pang Yong Kek berkata penyakit pneumokokal sering kali tidak dikenal pasti sehingga sudah terlambat.

“Sepanjang saya merawat pesakit, saya telah menyaksikan ramai warga emas di Malaysia dimasukkan ke hospital akibat komplikasi pneumonia, ada yang memerlukan rawatan rapi dan ada pula yang mengambil masa lama untuk pulih.

“Malah, pneumonia merupakan penyebab utama kemasukan ke hospital bagi kes berkaitan pernafasan, dan tahap serius penyakit ini biasanya meningkat seiring usia, sering kali sehingga memerlukan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) dalam kes yang kritikal.

“Ini bukan kes yang jarang berlaku, sebaliknya menunjukkan satu corak yang boleh dicegah. Pneumonia pneumokokal khususnya, ialah penyakit yang boleh dicegah melalui vaksinasi,” kata beliau.

PCV20 dibangunkan berlandaskan vaksin terdahulu, PCV13, dengan tambahan perlindungan terhadap tujuh serotaip baharu iaitu 8, 10A, 11A, 12F, 15B, 22F dan 33F yang dikaitkan dengan rintangan antibiotik dan penyakit invasif.

Serotaip pneumokokal yang sentiasa berubah merupakan cabaran utama dalam usaha mengawal penyakit tersebut dan PCV20 diformulasikan untuk memberikan liputan serotaip lebih luas bagi menangani pola penyakit yang kian berkembang. – Bernama

Continue Reading

Previous: Sweat4Strays: Cabaran 30 hari demi kucing jalanan di Kuching
Next: 15.6 peratus orang dewasa hidap diabetes, ramai tak sedar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.