
KUCHING: Projek pembesaran Jalan Matang kini mencatat kemajuan sebanyak 62.2 peratus, dengan kelewatan kecil sekitar 3.58 peratus, namun dijangka mampu disiapkan lebih awal daripada jadual asal, iaitu menjelang Ogos 2026.
Menurut Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD), Datuk Ir. Aidel Lariwoo, kelewatan berkenaan berpunca daripada proses pemindahan utiliti berskala besar di sepanjang laluan projek.
“Kelewatan ini berlaku kerana kerja pemindahan utiliti utama seperti telekomunikasi dan bekalan air yang dilakukan secara permanen ke lokasi yang telah dikenal pasti sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan jangka panjang.

“Namun keseluruhan proses berjalan lancar, dengan beberapa bahagian jalan telah siap dan kini hanya menunggu lapisan akhir diturap,” katanya selepas ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak projek Jalan Matang, hari ini.
Beliau menyatakan keyakinan bahawa projek tersebut akan dapat disiapkan lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan, berdasarkan komitmen kontraktor dan perkembangan kerja semasa yang positif.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, berharap projek berkenaan dapat dipercepatkan dan disiapkan seawal Januari atau Februari tahun hadapan.

Beliau berkata, jalan tersebut merupakan laluan utama harian bagi ribuan pengguna, justeru penyelesaiannya akan memberi keselesaan kepada rakyat khususnya di kawasan Matang dan sekitarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan negeri mempertimbangkan pembinaan jalan baharu dari Simpang Malihah ke kawasan FAC, sebagai laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan di Jalan Matang.
“Saya turut mencadangkan satu lagi sambungan jalan dari Malihah yang dipotong ke Paroh dan seterusnya ke Sungai Maong. Ini akan memberi pilihan tambahan kepada pengguna, sekali gus membantu menyuraikan aliran trafik yang terlalu tertumpu di laluan utama.
“Namun laluan dari Malihah ke Paroh mungkin memerlukan pembinaan jambatan baharu, dan ini sudah tentu melibatkan kos yang agak besar. Namun saya yakin ia wajar dipertimbangkan demi penyelesaian jangka panjang,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa selain menyiapkan projek sedia ada, perancangan menyeluruh dan pelaburan jangka panjang perlu diambil kira bagi menyelesaikan isu kesesakan secara menyeluruh di kawasan Matang.
Oleh Shikin Mahmud