Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Keseimbangan antara kuasa dan tunduk kepada Allah
  • RENCANA

Keseimbangan antara kuasa dan tunduk kepada Allah

Utusan Sarawak 2 days ago
PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang menikmati suasana di ruang Bungaan Tropika Borneo yang menampilkan pelbagai bunga segar, termasuk spesies orkid, bunga matahari dan bunga lily, yang disusun indah bersama pencahayaan lampu LED dalam ruang berhawa dingin di tapak Festival Flora Borneo (BFF) @ Labuan, hari ini. Foto BERNAMA

KEPIMPINAN dalam Islam bukanlah sekadar kedudukan yang membawa pengaruh dan kuasa semata-mata. Ia adalah amanah yang besar serta tanggungjawab yang berat, bukan sahaja kepada manusia tetapi yang lebih utama kepada Alllah SWT.

Seseorang pemimpin Muslim perlu sedar bahawa setiap keputusan dan tindakan yang diambil akan dipertanggungjawab di hadapan Allah SWT.

Maka, kuasa yang dipegang mestilah seiring dengan rasa tunduk dan patuh kepada perintah Ilahi.

Inilah asas kepada kepimpinan yang seimbang, iaitu menggunakan kuasa dengan penuh hikmah sambil tetap merendah diri sebagai hamba Allah SWT. 

Sebagaimana yang dinyatakan Allah SWT di dalam al-Quran yang menegaskan bahawa kepimpinan perlu diberikan kepada orang yang layak dan berintegriti.

Firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, hendaklah kamu menghukumnya dengan adil.” (surah an-Nisa ayat 98) 

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa kuasa dalam kepimpinan bukanlah hak mutlak seseorang, tetapi satu amanah yang mesti dilaksanakan dengan keadilan.

Pemimpin tidak boleh bersikap zalim atau memanfaatkan jawatannya demi kepentingan peribadi.

Sebaliknya dia perlu bertindak atas dasar takwa dan tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin. 

RASULULLAH SAW SEBAGAI PEMPMPIN YANG PATUT DICONTOHI 

Model kepimpinan Rasulullah SAW adalah contoh yang terbaik untuk diaplikasikan dalam menyeimbangkan kuasa dan ketundukan kepada Allah SWT.

Islam adalah ad-Din yang dibawa oleh Rasulullah SAW yang mementingkan perpaduan sesama manusia.

Perpecahan dan perbalahan sesama manusia menjadi penyebab utama kehancuran sesebuah negara.

Justeru itu, Rasulullah SAW diutuskan oleh Alllah SWT di dunia ini untuk membina perpaduan dalam kalangan manusia dan membenteras sifat-sifat mazmumah yang boleh memecahbelahkan kesejahteraan masyarakat sejagat. 

Baginda memegang kuasa sebagai pemimpin negara Islam yang pertama di Madinah.

Baginda hidup secara sederhana, bersikap adil terhadap semua golongan dan sentiasa merujuk kepada al-Quran dalam setiap keputusan.

Keperibadian Rasulullah SAW sebagai pemimpin mencerminkan kepatuhan yang mutlak kepada Allah SWT dalam menjalankan urusan kepimpinan.

Sabda Baginda: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan atas apa yang dipimpinnya.” (riwayat Bukhari dan Muslim)

Kepimpinan yang menyeimbangkan kuasa dan ketundukan kepada Allah SWT akan menghasilkan masyarakat yang adil, aman dan diberkati.

Pemimpin sebegini tidak akan terpengaruh dengan tekanan duniawi, tidak tunduk kepada nafsu atau pujian manusia, sebaliknya sentiasa menilai segala tindakan dengan iman dan ketaatan kepada Allah SWT.

Mereka menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan utama, serta menjauhkan daripada kezaliman, rasuah dan ketidakadilan.

Allah SWT menggambarkan ciri-ciri pemimpin seperti ini dalam firman-Nya: “Orang-orang yang apabila Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan kepada Allah jua kembali segala urusan.” (surah al-Hajj ayat 41) 

Oleh demikian, keseimbangan antara kuasa dan tunduk kepada Allah SWT adalah prinsip utama dalam kepimpinan Islam.

Kuasa yang tidak dipandu oleh ketakwaan akan menjerumuskan seseorang ke arah kezaliman dan penindasan, manakala ketundukan tanpa tanggungjawab kepada rakyat akan melemahkan kepercayaan umum.

Gabungan kedua-dua elemen inilah yang membentuk pemimpin rabbani.

Seorang pemimpin yang kuat tetapi merendah diri, berkuasa tetapi takut kepada Allah SWT dan tegas tetapi adil.

Kepimpinan seperti inilah yang dituntut dalam Islam dan inilah yang akan membawa rahmat kepada seluruh alam sebagaimana yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Ketakwaan Saidina Uthman Bin Affan

DI samping memiliki rasa malu yang tinggi, Saidina Uthman bin Affan juga seorang yang sangat bertakwa kepada Allah SWT.

Beliau sentiasa mentaati perintah Allah SWT dan Rasul-Nya. Beliau tidak pernah meninggalkan perkara yang wajib dan seringkali melakukan perkara-perkara yang sunat.

Beliau bangun untuk bersolat tahajud pada setiap malam. Sehinggakan ketika usianya lanjut, beliau tetap bangun dan berjalan tertatih-tatih dengan sendirinya untuk mengambil wudhuk.

Beliau tidak mengejutkan sesiapa pun untuk membantunya. Malah ada sahabat-sahabatnya yang menasihatinya dengan berkata, “Sekiranya engkau mengejutkan pembantu-pembantumu, nescaya mereka boleh membantumu”. Maka Saidina Uthman bin Affan pun menjawab, “Tidak! Waktu malam adalah waktu untuk mereka beristirahat”.

Pada siang hari pula, beliau sering berpuasa sunat. Selain itu, Saidina Uthman bin Affan juga kerap melaksanakan ibadah haji.

Setelah mengikuti Rasulullah SAW dalam Haji Wada’, beliau sering mengerjakan ibadah haji selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Ketika zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al Khattab, beliau bersama dengan Abdur Rahman bin Auf telah memimpin rombongan haji para isteri Rasulullah SAW.


Ketika beliau menjadi khalifah umat Islam, beliau melaksanakan ibadah haji pada tiap-tiap tahun selama sepuluh tahun berturut-turut.

Beliau mengetuai rombongan jemaah haji pada zaman tersebut. Ketika beliau dikepung oleh para pemberontak, beliau tidak dapat mengetuai rombongan jemaah haji.

Oleh itu, beliau mengamanahkan kepada Abdullah Ibnu Abbas untuk memimpin rombongan jemaah haji.

Saidina Uthman bin Affan juga sangat mencintai al-Quran. Beliau termasuk dalam kalangan para sahabat yang menghafal al-Quran.

Hidup beliau sentiasa ditemani dengan al-Quran. Saidina Uthman bin Affan pernah berkata, “Tidak ada yang lebih aku sukai setiap kali datang hari baru kecuali menatap Kitabullah”.

Beliau juga berkata, “Jika hati kita bersih, maka ia tidak akan merasa bosan dari azzawajalla”.

Saidina Uthman bin Affan juga pernah berkata, “Aku mencintai tiga perkara dari dunia iaitu memberi makan orang yang kelaparan, memberi pakaian orang yang telanjang (tidak memiliki pakaian) dan membaca al-Quran”.

Oleh Hanzalah Azman

Continue Reading

Previous: Keragaman, perubahan iklim: Mengapa rakyat perlu memahami isu ini
Next: Masih ada ruang untuk berjuang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.