
KUCHING: Hidangan tradisional Nigeria seperti fufu dan sup egusi semakin mencuri tumpuan di TikTok apabila semakin ramai pengguna media sosial mencuba makanan itu buat kali pertama.
Walaupun penerimaannya berbeza-beza, secara keseluruhan ia telah menarik perhatian ramai dan turut membantu memperkenalkan masakan Nigeria kepada khalayak yang lebih luas.
Fufu yang mempunyai tekstur kenyal dan lembut seperti mochi tanpa rasa manis diperbuat daripada ubi kayu, pisang mengkal atau ubi yang direbus dan ditumbuk menjadi doh.

Ia dimakan menggunakan tangan dan biasanya dicelup ke dalam sup pekat seperti egusi iaitu sup tradisional Nigeria berasaskan biji tembikai (egusi) yang digiling dan dimasak bersama bayam, daging, ikan, makanan laut serta bahan khas seperti kpomo (kulit lembu), shaki (perut lembu) dan ikan salai.
Di sini, rasa ingin tahu terhadap makanan ini telah membuka peluang kepada Arina Devi dan rakannya dari Nigeria, Bobby, untuk memperkenalkan sajian asli Nigeria melalui perniagaan kecil mereka, Naijakitchen.
KONGSI WARISAN BUDAYA NIGERIA

Bermula pada 2024 dengan hanya memasak untuk diri sendiri, minat Arina terhadap rasa unik masakan Nigeria dan keghairahan Bobby dalam berkongsi warisan negaranya telah mendorong mereka untuk menubuhkan perniagaan bersama.
“Kami mula dengan satu keinginan. Bobby masak di rumah dan kami makan bersama. Lama-kelamaan saya rasa makanan ini terlalu sedap untuk tidak dikongsi dengan orang lain di sini.
“Kami nampak ada kekosongan dalam pasaran untuk makanan Nigeria yang autentik jadi kami ambil keputusan untuk memperkenalkannya di sini,” kata Arina.
Menu Naijakitchen merangkumi fufu, sup egusi, sup kacang bendi, nasi jollof dan stu tomato yang disajikan bersama nasi basmati, pisang goreng dan telur rebus.
Menurut Arina, semua resipi yang digunakan adalah resipi asli Nigeria dan kebanyakan bahan penting seperti biji egusi, udang kering serta rempah tradisional diimport dari Nigeria untuk mengekalkan keaslian rasa.

“Satu-satunya perkara yang kami ubah hanyalah tahap kepedasan. Sesetengah pelanggan tidak tahan pedas jadi kami laraskan ikut kesesuaian,” jelasnya.
CABARAN CARI BAHAN
Walaupun berdepan pelbagai cabaran seperti mencari bahan dan memperkenalkan makanan yang agak asing kepada masyarakat tempatan, Arina menyifatkan sambutan yang diterima amat memberangsangkan sejak permulaan.
“Ramai yang mula-mula tak tahu nak makan macam mana tapi lepas cuba mereka datang balik. Itu yang membuatkan kami terus bersemangat.”
Naijakitchen kini menerima tempahan terhad melalui Instagram @Naijakitchen_dan memfokuskan pada penghantaran hujung minggu atau pada hari tertentu yang diumumkan di media sosial.

“Bagi kami ini lebih daripada sekadar menjual makanan. Ia tentang berkongsi budaya, memperkenalkan cerita dan warisan melalui rasa,” tambah Arina yang berasal dari latar belakang campuran dan percaya bahawa makanan adalah jambatan budaya.
“Sarawak sendiri adalah negeri pelbagai budaya dan kami percaya makanan Nigeria juga mampu jadi medium penyatuan.
“Kami mahu mereka rasa seolah-olah telah mengembara ke tempat baru walaupun seketika. Kenyang, puas hati dan mungkin sedikit tertarik untuk kenal lebih lagi tentang budaya Nigeria,” ujarnya.
Oleh Amanda L.
