
PETRA JAYA: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menerima kunjungan hormat delegasi Muzium Negeri Pahang di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Delegasi Muzium Negeri Pahang telah diketuai oleh Dato Ahmad Farid Abdul Jalal yang diiringi oleh Kurator Muzium Pahang Hayati Adnan dan Perunding Muzium Pahang Norzaireen Shamsul Kamar.
Menurut Dato Ahmad Farid, kunjungan hormat tersebut untuk menjalinkan kerjasama dengan Sarawak berkaitan Temasya Warisan Pahang yang bakal diadakan di Pekan, Pahang bermula 31 Ogos hingga 7 September ini.
“Secara dasarnya, Premier Sarawak menyambut baik undangan tersebut.
“Insya-Allah, kita ada satu lagi perbincangan pada hari esok bersama dengan agensi-agensi yang terlibat di peringkat Sarawak,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat tersebut.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menyatakan pihaknya mempelawa pelbagai kerjasama dengan muzium di Sarawak di samping merancang kerjasama jangka panjang dengan Muzium Sarawak.
Tambahnya, terdapat juga kerjasama dari segi pertukaran pameran dan kepakaran dalam usaha memastikan kesinambungan usaha ini dapat diteruskan ke peringkat yang lebih tinggi.
Jelasnya, Muzium Sarawak telah mencadangkan untuk mengadakan satu bengkel konservasi sepanjang tempoh Temasya Warisan Pahang diadakan.
“Kita juga mempelawa muzium negeri lain untuk turut serta bersama Muzium Sarawak sebagai peserta bengkel tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Dato Ahmad turut menyatakan untuk terus belajar daripada kerajaan Sarawak terutamanya dalam mempromosikan kraftangan yang cukup aktif dan menyokong penuh industri tersebut.
Jelasnya, sokongan daripada kerajaan kepada industri kraftangan sangat luar biasa di mana ia menjadi identiti cukup kuat kepada Sarawak.
“Saya rasa ini patut diikuti oleh negeri lain di Semenanjung untuk kita letakkan kraf atau keutamaan kepada kraf agar dia menjadi satu lambang identiti bagi setiap negeri,” ujarnya.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datu Sherrini Hussaini dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Craft Council Suriya Charles Buas. -UKAS