
LINYI: Tiga cef dari Sarawak diberi penghormatan untuk mewakili Malaysia dalam persidangan perdagangan dan pertukaran makanan antarabangsa yang berlangsung di Linyi, Wilayah Shandong, China.
Penyertaan mereka dalam China (Linyi) – Persidangan Perdagangan Antarabangsa dan Padanan Perniagaan Malaysia (Kuching) serta Persidangan Pertukaran Makanan China – Malaysia menjadi platform memperkenalkan masakan tradisional Sarawak kepada khalayak antarabangsa.
Ketiga-tiga cef berkenaan ialah Cef Robbie Richard Balcarek, Cef Iana Akam dan Cef Annie Wee.
Mereka merupakan pemenang pingat dalam Malaysia Culinary World Cup dan dikenali atas usaha mengekalkan keaslian masakan Sarawak sambil memberi sentuhan moden.
Cef Robbie, pengasas Little Fairy Cafe di Padungan, Kuching, mempersembahkan menu istimewa Sup Terung Dayak bersama bihun.

Hidangan itu diinspirasikan daripada warisan Bidayuh beliau, menampilkan rasa masam terung asam dalam sup ayam bersama bihun yang menyegarkan.
“Satu pengalaman bermakna untuk berkongsi cerita makanan kita dengan orang luar.
“Setiap hidangan bawa bersama latar belakang, budaya, dan rasa rumah,” katanya.
Sementara itu, Cef Iana dari Fairy Tavern di Bau mengetengahkan Tapas Daging Salai bersama Sambal Gaya Bidayuh iaitu daging salai disajikan dengan sambal tradisional berasaskan teknik perisa asli masyarakat Bidayuh.
“Ini bukan sekadar persembahan masakan. Ia penghormatan kepada akar budaya kita. Sarawak kaya dengan rasa yang unik dan bermakna,” ujarnya.
Cef Annie pula, pengasas Annie Kolo Mee di Padungan, memilih untuk memperkenalkan Kolo Mee, hidangan ikonik Sarawak yang menampilkan mi telur dengan minyak bawang merah, daging cincang dan char siu.

“Saya membesar dengan Kolo Mee. Ia rasa yang membawa kenangan dan keselesaan kepada ramai rakyat Sarawak.
“Dapat berkongsi rasa ini di luar negara amat membanggakan,” katanya.
Penyertaan mereka bukan sahaja bertujuan memperkenal rasa tetapi juga membina hubungan baik antara komuniti melalui makanan.
Penganjur menyifatkan lawatan itu sebagai langkah penting dalam mempromosikan identiti kulinari Sarawak di pentas antarabangsa
Persidangan anjuran Persekutuan Industri dan Perdagangan Linyi serta Persatuan Kulinari Daerah Lanshan dengan kerjasama rakan Malaysia itu turut membuka peluang baharu kepada bakat kulinari Malaysia meneroka pasaran dan kerjasama luar negara.