MELAKA: Kerajaan negeri Melaka melakukan pelbagai usaha termasuk menarik pelabur tempatan dan asing bagi memastikan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun ini dapat dipertingkat, kata Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali.
Beliau berkata bagaimanapun, tiada peratusan paras KDNK tertentu ditetapkan pada tahun ini ekoran penularan wabak Covid-19 yang menjejaskan pelbagai sektor ekonomi di negara ini termasuk di Melaka.
“Untuk tahun 2020, kita tidak boleh menyasarkan unjuran seperti yang pernah kita tetapkan sebelum ini. Jika sebelum ini mungkin paras KDNK antara lima hingga 5.5 peratus tapi disebabkan Covid-19, kita kena bekerja lebih kuat bagi menarik pelabur untuk datang ke Melaka.
“Situasi ini bukan sahaja berlaku di Melaka, banyak lagi negeri lain terlibat dan bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara. Saya tidak yakin dalam masa terdekat, pelabur dari luar akan datang untuk melabur ekoran penularan Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan dan Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu peringkat negeri di sini, semalam.
Pada Ogos lepas, Bernama melaporkan berdasarkan data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menerusi penerbitan Laporan Sosioekonomi Negeri 2019 mengenai KDNK negeri melepasi paras nasional, Melaka tidak tersenarai antara negeri yang mencatatkan KDNK melepasi paras nasional pada 4.3 peratus.
Hanya tujuh negeri dilaporkan mencapai KDNK melepasi paras nasional iaitu Selangor (6.7 paratus) diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (6 peratus), Kelantan (5.3 peratus), Wilayah Persekutuan Labuan (5.2 peratus), Negeri Sembilan (5.1 peratus), Kedah (4.6 peratus) dan Perlis (4.6 peratus).
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata dalam tempoh terdekat ini terdapat lebih 12 pelabur berpotensi untuk melabur di Melaka namun Covid-19 menyebabkan aktiviti pelaburan tersebut terhenti seketika.
Beliau berkata selain itu, beberapa kekangan berkaitan Covid-19 turut diambil kira oleh pelabur untuk melabur termasuk kadar jangkitan kes di sesuatu negeri atau negara, prosedur, kaedah atau norma baharu yang harus dipatuhi termasuk kuarantin selama 14 hari sebaik tiba di negara ini dalam usaha memutuskan rantaian wabak tersebut.
Katanya, kadar pengangguran di negeri itu pada tahun ini juga turut dipengaruhi kesan penularan wabak itu namun ia dapat dikekalkan pada tahap terendah sekiranya rakyat bersama-sama mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan agar rantaian wabak itu dapat diputuskan sekali gus mengekalkan Melaka sebagai negeri hijau.
“Saya yakin aktiviti ekonomi di peringkat domestik atau dalam negeri dapat berjalan seperti biasa dan meluas dan ia secara tidak langsung dapat memangkin ekonomi negeri dan saya harapkan kadar pengangguran terendah pada tahun lepas iaitu 1.1 peratus dapat dikekalkan atau diturunkan lagi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan negeri akan mengkaji secara terperinci keperluan menukar nama salah satu ikon sejarah yang juga destinasi pelancongan negeri iaitu Bukit St Paul di Banda Hilir kepada nama Bukit Melaka.
“Ia perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk sejarah dan kedudukan atau status Melaka sebagai negeri warisan dunia yang diiktiraf Unesco. Kita tidak boleh menukar nama sewenang-wenangnya, setakat ini ia hanya sekadar cadangan,” katanya. – Bernama