Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Kadar survival kanser paru-paru berganda hasil kemajuan terapi moden – Pakar
  • KESIHATAN

Kadar survival kanser paru-paru berganda hasil kemajuan terapi moden – Pakar

Utusan Sarawak 2 days ago
PAKAR Onkologi Klinikal Dr. David Lee semasa temu bual eksklusif sempena Hari Kanser Paru-paru Sedunia di Pusat Perubatan Sunway, Sunway City. Beliau menekankan bahawa hampir 60 peratus pesakit kanser paru-paru di Malaysia hanya didiagnosis pada peringkat empat — peringkat paling maju — dengan kadar kelangsungan hidup lima tahun kurang daripada 15 peratus, menurut National Cancer Registry. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR:  Kanser paru-paru yang sejak sekian lama dikenali sebagai ‘pembunuh senyap’ dan kekal sebagai antara tiga punca utama kematian berkaitan kanser di Malaysia kini menunjukkan perkembangan positif dari segi kemajuan rawatan. 

Pakar Onkologi Klinikal di Pusat Perubatan Sunway Bandar Sunway (SMC) Dr David Lee Dai Wee berkata kadar survival pesakit berganda hasil kemajuan dalam terapi moden sekali gus memberi sinar baharu kepada pesakit.

Beliau berkata menurut Daftar Kanser Kebangsaan hampir 60 peratus pesakit kanser paru-paru di Malaysia hanya dikesan pada tahap empat, iaitu peringkat paling lewat, dengan kurang daripada 15 peratus menyaksikan kadar survival selama lima tahun.

“Pada peringkat awal seperti tahap satu atau dua, pesakit lazimnya tidak menunjukkan sebarang simptom. Oleh itu, kanser paru-paru sering dikesan lewat apabila simptom mula muncul, antaranya batuk berterusan selama dua hingga tiga minggu atau lebih lama,” katanya kepada Bernama.

Dr Lee berkata simptom lain termasuk batuk berdarah (hemoptisis), sakit dada ketika bernafas, sesak nafas dan penurunan berat badan yang mendadak, manakala kanser yang merebak ke organ lain juga boleh menyebabkan kesakitan di bahagian anggota badan yang lain. 

Selain merokok yang menyumbang kira-kira 80 peratus kes kanser paru-paru beliau berkata pendedahan kepada asap rokok, bahan berbahaya seperti asbestos dan arang batu, serta faktor genetik turut menyumbang kepada peningkatan risiko penyakit itu.

Antara 20 hingga 30 peratus pesakit kanser paru-paru di Asia terdiri daripada bukan perokok sekali gus menepis tanggapan umum bahawa hanya perokok berisiko, persepsi ini yang mungkin menyebabkan kelewatan menjalani rawatan lanjut. 

“Tetapi kini, dengan kemajuan terutamanya dalam bidang patologi molekul, kami boleh menjalankan ujian yang dikenali sebagai penjujukan generasi hadapan (NGS) untuk menganalisis DNA (asid deoksiribonukleik) sel kanser dan memahaminya dengan lebih mendalam.

“Ini telah memberi impak besar kepada rawatan kanser paru-paru. Sebagai contoh, daripada 100 pesakit yang saya rawat, kira-kira 50 peratus mempunyai perubahan genetik yang dikenali sebagai mutasi Epidermal Growth Factor Receptor (EGFR),” katanya.

Kelazimannya peluang untuk hidup menerusi rawatan konvensional kurang daripada setahun, namun terapi terkini termasuk penggunaan tablet yang lebih mudah diambil, dapat membantu meningkatkan jangka hayat hingga tiga tahun.

“Satu lagi contoh ialah imunoterapi yang diberikan melalui titisan intravena. Ia berfungsi  ‘mendedahkan’ sel kanser yang ‘menyorok’ daripada sistem imun, seterusnya membantu badan mengenal pasti dan memusnahkan sel berbahaya itu,” katanya.

Antara kelebihan terapi moden seperti imunoterapi ialah kesan sampingan yang minimum, iaitu hampir 80 peratus pesakit tidak mengalami kesan sampingan yang teruk seperti rambut gugur atau muntah.

Namun, cabaran utama rawatan kanser diperibadikan di Malaysia adalah akses terhad kepada teknologi canggih dan kos yang tinggi memandangkan kebanyakan ubat ini tidak tersenarai dalam formulari negara dan tidak mendapat subsidi di hospital kerajaan. 

“Bayangkan jika seorang pesakit tinggal di kawasan luar bandar dan perlu menjalani ujian NGS. Sampel tisu kanser paru-paru mereka perlu dihantar ke makmal di Kuala Lumpur,” katanya.

Keadaan yang sering menyebabkan kelewatan memulakan rawatan, satu isu kritikal dalam rawatan kanser paru-paru memandangkan rawatan awal amat penting.

Sehubungan dengan itu, membuat keputusan bersama-sama antara pakar onkologi, pesakit dan ahli keluarga memainkan peranan penting dalam merangka pelan rawatan yang bersesuaian.

“Keadaan setiap pesakit berbeza, keputusan rawatan bergantung kepada usia, tahap kesihatan, tahap penyakit dan subjenis molekul. Melalui ujian genetik NGS, boleh menyasarkan rawatan dengan lebih tepat kepada sel kanser sekali gus mengurangkan kesan sampingan,” katanya.

Dr Lee berkata keputusan rawatan tidak hanya tertumpu kepada untuk peluang hidup semata-mata tetapi juga memastikan pesakit dapat menjalani kehidupan berkualiti, kembali bekerja, meluangkan masa bersama insan tersayang dan menjalani kehidupan yang lebih bermakna.

Beliau ialah rakyat Malaysia pertama menerima anugerah International Association for the Study of Lung Cancer (IASLC) Academy 2024 dan American Society of Clinical Oncology (ASCO) International Development and Education Award (IDEA) 2024  di Chicago, Amerika Syarikat. — Bernama

Continue Reading

Previous: Kesihatan mental golongan belia makin terjejas, perlukan sistem sokongan – Abdul Karim
Next: Sistem kesihatan luar bandar terus diperkukuh di Kabong

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.