
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak di semua peringkat daerah dan bahagian telah diarahkan agar berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi cuaca panas dan kering yang sedang melanda negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi JPBN, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pemantauan berterusan amat penting kerana cuaca panas yang berpanjangan boleh meningkatkan risiko kebakaran terbuka serta tahap jerebu yang membimbangkan.
“Pihak Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) juga akan menggunakan teknologi dron bagi memantau kawasan tertentu sekiranya terdapat tanda-tanda asap atau kebakaran awal.
“Kita turut meminta Pejabat Residen di setiap bahagian untuk memantau situasi semasa dan melaporkan segera sebarang insiden,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Integriti Antarabangsa Borneo (BIIS) 2025 di Pusat Borneo Konvensyen Kuching (BCCK), hari ini.
Mengulas lanjut, Uggah berkata beliau telah menerima laporan berhubung beberapa kampung di negeri ini yang kini berdepan masalah kekurangan bekalan air bersih.
Sehubungan itu, katanya, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak serta Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak telah diminta untuk meneliti serta merangka penyelesaian segera.
“Kita juga akan mengadakan satu mesyuarat khas dalam beberapa hari akan datang untuk menilai keadaan semasa, khususnya berkaitan isu kekurangan air yang merupakan satu masalah yang serius.
“Kita perlu pastikan semua jentera dan agensi yang berkaitan bersedia sepenuhnya untuk menangani sebarang kemungkinan di lapangan,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh mencetuskan kebakaran berskala besar serta memburukkan lagi kualiti udara.
“Kebakaran besar sering berpunca daripada pembakaran kecil yang tidak dikawal. Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi mengelak situasi ini menjadi lebih parah,” tegasnya.
Oleh Shikin Mahmud