
KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin susulan semakan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi 2025.
Pada penutupan jam 6 petang, ringgit susut kepada 4.2275/2345 berbanding dolar AS daripada 4.2195/2245 pada Jumaat lalu.
BNM menyemak unjuran pertumbuhan KDNK 2025 kepada antara 4.0 hingga 4.8 peratus daripada 4.5 hingga 5.5 peratus sebelum ini.
Unjuran inflasi juga dikurangkan kepada 1.5 hingga 2.3 peratus berbanding 2.0 hingga 3.5 peratus sebelum ini.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata semakan itu langkah pragmatik memandangkan risiko luar yang meningkat, manakala inflasi lebih rendah menunjukkan rasionalisasi subsidi RON95 dijangka terkawal.
Beliau menjangka langkah ini positif untuk ringgit dalam jangka sederhana dan panjang kerana pengukuhan fiskal memberi ruang lebih besar untuk bantuan bersasar serta perbelanjaan pembangunan.
“Rancangan Malaysia Ke-13 yang akan diumumkan Khamis ini dijangka memperuntukkan perbelanjaan pembangunan lebih tinggi bagi membawa ekonomi Malaysia ke status pendapatan tinggi,” katanya.
Afzanizam berkata Indeks Dolar AS (DXY) mengukuh 0.5 peratus kepada 98.13 mata disokong keyakinan terhadap rundingan perdagangan AS-China yang dijangka melanjutkan gencatan dagangan.
Pada penutup dagangan, ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8497/8546 daripada 2.8529/8565 dan pound Britain kepada 5.6720/6814 daripada 5.6786/6853.
Ringgit juga naik berbanding euro kepada 4.9331/9412 daripada 4.9507/9566.
Namun, ringgit bercampur-campur berbanding mata wang serantau.
Ia hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 258.3/258.9, naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2917/2974 daripada 3.2937/2978, tetapi susut berbanding baht Thai kepada 13.0511/0787 daripada 13.0268/0478 dan peso Filipina kepada 7.39/7.41 daripada 7.38/7.40. – Bernama.