
BAU: Bengkel Permainan Tradisional Bidayuh Singai yang berlangsung di Kampung Barieng, Singai di sini mencuri tumpuan apabila berjaya menarik penyertaan seramai 58 peserta dari pelbagai kampung sekitar kawasan tersebut.
Program yang dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak, Norsyahrul Syafsaidina Ismail itu menjadi ruang untuk memperkenalkan permainan rakyat kepada generasi muda.
“Budaya bukan sekadar untuk dipamerkan, tetapi untuk dihidupkan, dikongsi dan diwariskan.
“Warisan seperti ini harus kita pertahankan dan perkembangkan demi generasi onak sukun (anak cucu) kita,” katanya ketika merasmikan Bengkel Permainan Tradisional Bidayuh Singai, semalam.
Menurut Norsyahrul, permainan tradisional bukan sekadar aktiviti hiburan tetapi mengandungi nilai murni seperti semangat berpasukan, kebijaksanaan tempatan, ketahanan fizikal dan mental serta jalinan sosial antara generasi.
Dalam pada itu, bengkel turut tersenarai sebagai salah satu daripada 21 program penerima Insentif Seni JKKN bagi tahun ini.
Anjuran Persatuan Pewaris Adat Asal Singai (PA’AS) dengan kerjasama penduduk Kampung Barieng dan sokongan JKKN Sarawak, bengkel tersebut memfokuskan pengenalan serta penghayatan semula permainan tradisional seperti Sirotuong, Sotu, Takok, Kosang dan Nyipuot.
Selaras dengan usaha memperkukuh ekosistem budaya di peringkat akar umbi, JKKN memperkenalkan Insentif Seni JKKN, satu inisiatif penjenamaan semula bentuk bantuan sedia ada kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan penggiat seni budaya di seluruh negara.
Terdapat empat jenis insentif ditawarkan iaitu Insentif Seni Kewangan, Insentif Seni Ruang, Insentif Seni Kepakaran dan Insentif Seni Promosi.
Bantuan kewangan sehingga RM15,000 disediakan sebagai modal permulaan untuk menampung sebahagian kos program dan aktiviti seni budaya.
Sementara itu, program yang layak menerima insentif ini merangkumi pelbagai bentuk aktiviti seperti penghasilan kandungan seni, penyelidikan, latihan kemahiran, jangkauan komuniti serta usaha mempromosikan seni budaya.
Keutamaan akan diberikan kepada bidang seni tradisional seperti adat resam, teater, muzik, puisi dan permainan rakyat.
Melalui sokongan berstruktur seperti ini, JKKN berharap seni warisan tradisi akan terus berkembang dan menjadi simbol kekuatan identiti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
Permohonan terbuka kepada NGO seni budaya berdaftar dengan ROS dan yayasan tidak berorientasikan keuntungan yang berdaftar dengan SSM, dengan syarat dokumentasi lengkap dikemukakan.
Semua permohonan perlu dibuat secara dalam talian menerusi platform Rumah Seni JKKN di pautan: https://rumahsenijkkn.my.
Oleh Adele Rissa