



KABONG: Usaha memperkukuh kefahaman masyarakat Islam mengenai pengurusan harta pusaka menurut syariah terus dipergiatkan menerusi penganjuran program Ceramah Pengurusan Harta Pusaka yang berlangsung di Masjid Assabirin, Kabong, hari ini.
Program yang dianjurkan secara bersama oleh Persatuan Pesara Kabong (PEKA) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir.
Ceramah ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan perancangan dan pengurusan harta pusaka berlandaskan hukum Islam, sekali gus mengelakkan pertelingkahan waris serta memastikan proses agihan dilaksanakan dengan adil dan mengikut syariat.
Penceramah jemputan menjelaskan bahawa pengurusan pusaka bukan sekadar soal pembahagian harta, tetapi turut merangkumi penyelesaian hutang si mati, pelaksanaan wasiat, dan penentuan hak waris mengikut sistem faraid yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah.
Beliau turut menekankan bahawa kekeliruan dan kelewatan dalam pengurusan pusaka sering menjadi punca utama pertelingkahan sesama waris, serta menyebabkan aset peninggalan dibekukan dalam tempoh yang lama.
Dalam ucapannya pula Chee Kadir menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran program sebegini, yang disifatkannya sangat relevan dan memberi manfaat besar kepada umat Islam di Kabong.
Beliau turut menyeru agar lebih banyak program pendidikan berkaitan muamalat Islam diperluaskan demi kesejahteraan ummah.
Turut hadir Pengerusi PEKA, Ismail Merikan; Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Najarudin Nedri; Pengerusi Lembaga Kebajikan Islam Kabong (LAKIK), Ulin Tabur dan wakil Pengarah JAKIM Sarawak, Mohd Abidin Ibrahim.
Oleh ADI SAFARMAN