KUALA LUMPUR: Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif dijangka akan didagangkan lebih tinggi pada minggu ini, mengambil kesempatan ke atas prestasi emas COMEX Amerika Syarikat (AS) yang lebih baik.
Peniaga Phillip Futures Sdn Bhd, Muhammad Fawwaz Zakaria berkata, penunjuk aras niaga hadapan emas COMEX mungkin akan mencecah US$2,100 auns pada minggu ini, menyeberangi tahap psikologi US$2,000 yang utama berikutan kebimbangan ke atas kes-kes Covid-19 di AS.
“Jika bilangan kes terus meningkat, ini akan merangsang tarikan emas sebagai aset komoditi selamat,” katanya kepada Bernama.
Pelabur juga menantikan rundingan perdagangan AS dan China yang dijadualkan berlaku pada 15 Ogos ini.
Emas sentiasa menjadi tarikan jika wujud ketidakpastian politik dan ekonomi yang memuncak termasuk apabila kadar faedah ditawarkan rendah.
Bulan semerta niaga hadapan emas COMEX mencecah tahap tertinggi pada US$2,069.21 satu auns pada Khamis, berikutan peningkatan kes Covid-19.
Pada dasar Khamis ke Jumaat, Ogos 2020, September 2020 dan Oktober 2020, masing-masing naik 211 mata kepada kepada RM266.55, RM265.00 dan RM264.90 segram, manakala November 2020 ditutup pada RM266.25 segram.
Jumlah dagangan mingguan adalah sebanyak satu lot bernilai RM27,150 berbanding dengan satu lot bernilai RM25,600 sebelumnya, manakala kepentingan terbuka menurun kepada 38 kontrak daripada 41 kontrak.
Sementara itu, harga emas fizikal berada pada RM268.53 segram daripada RM257.65 segram. – Bernama