
BINTULU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah jenis pil Ecstasy (MDMA) seberat 42,130 gram bernilai lebih RM7 juta dalam dua operasi berasingan di sini awal bulan ini.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Norizan Yahya berkata, rampasan itu merupakan yang kedua terbesar di negeri ini setakat tahun 2025, selepas satu kes di Miri.
Menurutnya, kejayaan berkenaan adalah hasil risikan dan pemeriksaan teliti oleh pegawai JKDM Bintulu dengan kerjasama Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Putrajaya pada 4 Julai lalu.
“Dalam kes pertama, pemeriksaan terhadap satu bungkusan kurier di sebuah syarikat penghantaran di Bintulu menemukan 25,330 gram pil Ecstasy bernilai sekitar RM4.23 juta,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kastam Bintulu hari ini.
Tambahnya, sindiket menggunakan modus operandi dengan menghantar dadah melalui udara dan membuat pengikraran palsu sebagai ‘Organic Coconut’, selain menggunakan alamat penerima yang tidak lengkap bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Dalam operasi kedua pada hari sama, serbuan ke atas sebuah kedai runcit dan sebuah rumah di Jalan Tun Hussein Onn membawa kepada rampasan 16,800 gram pil Ecstasy dianggarkan bernilai RM2.8 juta serta wang tunai sebanyak RM117,600.
“Dua individu tempatan, iaitu seorang lelaki dan seorang wanita, telah ditahan dalam operasi kedua untuk membantu siasatan,” katanya lagi.
Menurut Norizan, kejayaan tersebut mencerminkan ketegasan serta komitmen berterusan JKDM Sarawak dalam membanteras kegiatan penyeludupan dadah yang mengancam keselamatan masyarakat dan negara.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Oleh Carolyne Utih