
MIRI: Pengisytiharan cuti umum secara mengejut atau tanpa perancangan awal sebegini tidak seharusnya dijadikan amalan tetap kerana memberi tekanan kepada sektor perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Pengerusi Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Miri, Mohammad Hafidz Rohani berkata, Malaysia pada ketika ini telah pun mempunyai jumlah cuti umum yang tinggi jika dibandingkan dengan negara-negara lain di rantau ini.
“Cuti secara ad hoc menyukarkan perancangan operasi, menjejaskan produktiviti, serta meningkatkan kos seperti kerja lebih masa dan gangguan kepada jadual pengeluaran serta perkhidmatan.
“Cuti umum yang terlalu banyak membebankan majikan untuk membayar gaji tambahan kepada pekerja yang bekerja pada hari tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman cuti umum tambahan oleh kerajaan pada hari Isnin, 15 September 2025 sempena sambutan Hari Malaysia.
Jelas Hafidz, bagi banyak syarikat mikro dan kecil, pengumuman sedemikian memberi kesan langsung terhadap aliran tunai serta keupayaan mereka untuk mengekalkan kestabilan operasi harian.
“DUBS Miri ingin menegaskan bahawa Akta Kerja 1955 telah menetapkan peruntukan jelas berkenaan pengurusan cuti umum, termasuk pilihan untuk menggantikan hari bekerja sekiranya cuti diumumkan mengikut peruntukan sah.
“Justeru, sebarang pengumuman cuti tambahan tanpa pengesahan rasmi melalui Warta Kerajaan di bawah Akta Cuti 1951 berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan majikan serta mewujudkan kesan perundangan yang tidak diingini,” tegas beliau.
Sementara itu, Naib Pengerusi DUBS Cawangan Miri, Mariana Murib berkata, pihaknya menyokong semangat patriotik dalam menyambut Hari Malaysia, namun mengingatkan bahawa semangat cintakan negara juga perlu diterjemahkan melalui dasar-dasar yang menyokong kelangsungan keusahawanan.

“Langkah memperkasakan sektor mikro dan kecil serta membina suasana perniagaan yang kondusif dan mampan adalah antara cara sebenar menyemarakkan semangat kenegaraan,” katanya.
Tambah Mariana, cuti tambahan sememangnya boleh merangsang sektor pelancongan domestik, namun kuasa perbelanjaan rakyat ketika ini masih terhad, sekali gus mengehadkan kesan langsung kepada peniaga kecil dan pengusaha tempatan.
Sehubungan itu, DUBS Miri menggesa agar sebarang pengisytiharan cuti umum pada masa akan datang dibuat secara lebih telus, berpandukan saluran rasmi, dan dirancang lebih awal bagi memberi ruang kepada usahawan membuat penyesuaian sewajarnya.
“Ketelusan dan kejelasan dalam pelaksanaan dasar cuti amat penting bagi memastikan kelangsungan dan kestabilan ekosistem keusahawanan negara,” ujarnya.
Oleh Liong Chai Ling