
Foto AFP
NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menggesa Thailand dan Kemboja supaya menahan diri sepenuhnya, kata seorang jurucakap PBB pada Khamis, lapor Xinhua.
“Setiausaha Agung mengikuti dengan penuh kebimbangan laporan mengenai pertempuran bersenjata di sempadan Kemboja dan Thailand.
“Setiausaha Agung menggesa kedua-dua pihak supaya menahan diri sepenuhnya dan menangani sebarang isu menerusi dialog dalam semangat kejiranan yang baik, bagi mencari penyelesaian yang berkekalan terhadap pertikaian itu,” kata Timbalan Jurucakap Ketua PBB Farhan Haq pada taklimat harian.
Keadaan di sempadan Thailand-Kemboja bertambah tegang susulan pertempuran pada Khamis.
Kedua-dua pihak saling menuduh antara satu sama lain susulan situasi yang semakin meruncing itu dengan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet menggesa Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan perkara itu.– Bernama-Xinhua