
BINTULU: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Seri Tiong King Sing, menyifatkan tindakan menukar tugas seorang anggota polis yang didakwa memeras ugut dan mengganggu seorang pelancong wanita baru-baru ini sebagai tidak memadai serta gagal meyakinkan masyarakat.
Ahli Parlimen Bintulu itu menegaskan bahawa tingkah laku pegawai terbabit, yang dilaporkan hampir menyerupai gangguan seksual, merupakan isu serius dan tidak boleh dipandang ringan.
“Tindakan menukar penugasan pegawai terbabit tidak cukup untuk meyakinkan orang awam.
“Tingkah lakunya yang dikatakan hampir menyerupai gangguan seksual adalah satu perkara serius dan tidak boleh diambil ringan.
“Saya menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar menangani perkara ini dengan tegas dan memastikan setiap pegawai mengamalkan disiplin serta kelakuan profesional yang tinggi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Beliau berkata, tindakan tegas perlu bagi memulihkan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan keselamatan serta membuktikan komitmen kerajaan dalam melindungi keselamatan dan maruah pelancong, sama ada tempatan mahupun antarabangsa.
Tiong memaklumkan beliau kini berada di luar negara atas tugasan rasmi dan telah mengarahkan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk berhubung terus dengan Bukit Aman bagi mendapatkan maklumat lanjut.
“Kami akan terus memantau perkembangan kes ini secara dekat dan memastikan keadilan sewajarnya diberikan kepada mangsa.
“Dalam masa sama, saya menyeru orang ramai agar tidak hilang keyakinan terhadap sektor pelancongan negara hanya kerana satu insiden terpencil,” ujarnya.
Katanya lagi, beliau akan mengadakan pertemuan secara peribadi dengan Ketua Polis Negara sebaik sahaja kembali ke tanah air bagi membincangkan langkah-langkah penambahbaikan demi menjamin keselamatan pelancong.
“Kami akan memulakan perbincangan mendalam mengenai keberkesanan dan keterlihatan Polis Pelancong bagi memastikan pelawat asing benar-benar rasa selamat sepanjang berada di Malaysia,” jelasnya.
Beliau turut menggesa semua pelancong, sama ada tempatan mahupun antarabangsa, supaya segera membuat laporan polis dan memaklumkan kepada pihak kementerian sekiranya berdepan dengan sebarang insiden yang tidak diingini.
Sebagai langkah tambahan, beliau mencadangkan agar pegawai berpangkat kanan seperti sarjan diwajibkan hadir dalam setiap sekatan jalan raya atau pemeriksaan polis, bagi memastikan tahap integriti dan disiplin anggota yang bertugas sentiasa terpelihara.
Terdahulu, seorang wanita warga Taiwan mendakwa telah diperas ugut oleh anggota polis ketika melalui satu sekatan jalan raya secara mengejut di kawasan SS2, Petaling Jaya, pada 7 Julai lalu.
Dakwaan tersebut telah dikongsi menerusi media sosial dan menjadi tular di beberapa platform dalam talian.
Oleh Carolyne Utih