LIMBANG: Warisan kesenian berteraskan agama Islam perlu terus dipelihara agar tidak pupus ditelan zaman.
Seni warisan yang berasaskan agama Islam memiliki kekayaan dalam berbagai cabang yang perlu terus diwarisi generasi muda.
Justeru, Festival Kesenian Islam yang dianjurkan setiap tahun ini Daerah Limbang diharap mampu mengangkat kembali kekayaan warisan seni Islam berteraskan teras agama Islam agar terus berkembang sepanjang zaman.
Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail menjelaskan, Islam merupakan agama universal atau sejagat yang sesuai diamalkan oleh semua umat manusia pada sepanjang zaman.
Malah, melalui konsep Islam sejagat ini telah difahami, diterima dan diamalkan oleh umat manusia yang memilih Islam sebagai pegangan hidup mereka.
“Justeru, melalui Festival Kesenian Islam ini kita mahu menonjolkan kesenian berteraskan Islam dan mengembalikan dan mengangkat pelbagai kesenian Islam yang popular ketika zaman Rasulullah seperti tulisan khat, hadrah dan pelbagai kesenian lain agar tidak hilang ditelan zaman,”katanya pada Majlis Penangguhan Bengkel Khat dan Pertandingan Seni Khat di Dewan Kampung Bunga Raya anjuran Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Limbang semalam.
Turut hadir, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said, Pegawai Jabatan Agama Islam (JAIS) Bahagian Limbang Awang Abdul Rahim Awang Rosely dan jawatankuasa pengelola Hashim Abdul Latip.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu memberitahu, seni kaligrafi khususnya seni khat dan tulisan jawi adalah lambang serta identiti Islam dan masyarakat Melayu Islam.
“Ia membuktikan bahawa bangsa dan agama kita begitu halus dan teliti yang diserlahkan melalui kehalusan seni yang dihasilkan melalui ukiran kayu, manuskrip lama dan sebagainya,”ujarnya.
Oleh Adeng Edrus