
Foto: Jiku Juguong
MARUDI: Seramai 149 ibu bapa daripada anak-anak Tabika KEMAS dan Taska menyertai Bengkel Kemahiran Keibubapaan 2025 yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di sini, hari ini.
Program ini bertujuan memperkukuh pengetahuan dan kemahiran ibu bapa dalam mendidik serta mengasuh anak-anak mereka.
Bengkel tersebut dirasmikan oleh Pembantu Tadbir Pejabat Daerah Marudi, Reagan Edwin, yang menekankan bahawa bengkel ini bukan sahaja membina kemahiran teknikal, tetapi turut menanam nilai kekeluargaan yang kukuh dalam masyarakat.
Menurut beliau, kejayaan sesebuah negeri tidak hanya bergantung kepada teknologi dan ekonomi, malah bergantung pada modal insan dari pelbagai lapisan masyarakat dan usia.
“Kita harus sedar bahawa modal insan yang berkemahiran, berfikiran positif, dan mempunyai jati diri yang kukuh adalah aset utama negara,” ujarnya.
Reagan turut mengaitkan program ini dengan aspirasi kerajaan Sarawak melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Strategi ini bertujuan menjadikan Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030 dengan fokus utama kepada pembangunan modal insan dan pembelajaran sepanjang hayat.
“Program seperti ini bukan sahaja menyokong aspirasi tersebut, malah memperkukuh daya saing sosial komuniti luar bandar,” katanya lagi.
Beliau juga percaya bengkel ini mampu membina keyakinan diri, ketahanan mental, dan kemahiran hidup ibu bapa, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu.
“Ingatlah, ilmu adalah kunci perubahan. Sebagai ibu bapa, kita harus menjadi contoh terbaik kepada anak-anak,” tegasnya
Sementara itu, Pegawai KEMAS Daerah Marudi, Therry Noel George Anyi, dalam ucapannya berkata bengkel ini bertujuan meningkatkan pengetahuan ibu bapa dan penjaga tentang tanggungjawab mereka dalam pengasuhan, pendidikan, pemakanan, serta perkembangan anak-anak.
Therry menekankan bahawa bengkel ini juga bertindak sebagai pendorong kesedaran ibu bapa tentang peranan penting mereka.
“Ibu bapa adalah pendidik pertama di rumah dan setiap tindakan kita menjadi cermin kepada anak-anak di masa depan,” ujarnya.
Beliau turut berharap agar ibu bapa sentiasa mengekalkan rutin harian yang sihat untuk anak-anak, menyediakan persekitaran pembelajaran yang inklusif, serta memberikan sokongan emosi yang berterusan demi perkembangan seimbang anak-anak.
Oleh Jiku Juguong