Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Sarawak sasar 20,000 hektar ladang nanas menjelang 2030
  • SEMASA

Sarawak sasar 20,000 hektar ladang nanas menjelang 2030

Utusan Sarawak 3 days ago
DATU Sirai Daha menyempurnakan simbolik penyerahan Bantuan Insentif LPNM Sarawak 2025 bersama wakil-wakil penerima. Foto: Adele Rissa

KOTA SAMARAHAN: Sarawak menyasarkan untuk mengembangkan keluasan ladang nanas sehingga 20,000 hektar menjelang 2030 dalam usaha menjadi negeri utama pengeluar nanas di Malaysia.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Dr Stephen Rundi Utom menerusi ucapan yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap, Datu Sirai Daha, semasa merasmikan Majlis Hari Bertemu Pelanggan dan Penyampaian Bantuan Insentif Projek Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Sarawak 2025 di Dewan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS), di sini hari ini.

“Tanah Sarawak yang subur memberi potensi besar kepada tanaman bernilai tinggi seperti nanas.

“Sasaran kita ini selari dengan matlamat LPNM di peringkat nasional, iaitu mencapai 30,000 hektar keluasan tanaman menjelang 2030,” katanya.

Menurut beliau, industri nanas di Sarawak kini menunjukkan perkembangan pesat dan bukan lagi sekadar tanaman sampingan, malah sedang muncul sebagai salah satu pemacu baharu kepada ekonomi pertanian negeri.

Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan LPNM, melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk insentif tanaman, pembangunan infrastruktur ladang dan kajian sisa nanas bagi tujuan bioekonomi.

Kerajaan negeri, katanya, kekal komited untuk memperkukuh kerjasama strategik bersama LPNM dalam memastikan kelangsungan serta daya saing industri nanas bukan sahaja di peringkat tempatan malah sehingga ke pasaran antarabangsa.

Bagi tahun ini sahaja, lebih RM23 juta telah diperuntukkan LPNM bagi menyokong pembangunan industri nanas di Sarawak.

Bantuan yang disalurkan merangkumi pembinaan sistem perparitan, pemasangan pagar, pembinaan jalan ladang, penyediaan kemudahan penyimpanan hasil, sistem pengairan mikro serta pemasangan lampu solar menerusi Program Pertanian Waktu Malam.

Mengulas mengenai hala tuju industri nanas negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), beliau memaklumkan bahawa LPNM Sarawak akan melaksanakan tiga pakej pembangunan strategik.

DATU Sirai Daha merasmikan Majlis Hari Bertemu Pelanggan dan Penyampaian Bantuan Insentif Projek Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Negeri Sarawak Tahun 2025 di Dewan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak, di sini hari ini. Foto: Adele Rissa

Tiga pakej berkenaan terdiri daripada Pakej Insentif Asas bagi pekebun kecil, Pakej Insentif Kelompok untuk kumpulan sedia ada dan baharu, serta Pakej Komersial yang menyasarkan penyertaan lebih agresif daripada individu dan syarikat.

“Pendekatan inklusif ini dijangka membolehkan pembangunan lebih seimbang di sepanjang keseluruhan rantaian nilai merangkumi aspek pengeluaran, pemprosesan hingga ke pemasaran.

“Malah, kita juga sedang giat merancang penubuhan sebuah kilang pemprosesan nanas di Miri yang akan menjadi pemangkin kepada perubahan landskap industri ini,” katanya lagi.

Majlis pada hari ini turut menyaksikan pelancaran Sistem e-Pineapple, menjadikan Sarawak negeri pertama di Malaysia yang mempelopori pendigitalan projek tanaman nanas secara sistematik.

Langkah itu dilihat sebagai bukti kesediaan negeri untuk mendepani transformasi digital dalam sektor agromakanan, selaras dengan Agenda Ekonomi Digital Sarawak.

Beliau turut menjelaskan bahawa sistem berkenaan akan membolehkan pengumpulan data pekebun secara langsung, pentadbiran projek yang lebih efisien serta pelaksanaan pemantauan secara lebih telus dan pantas.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Sarawak berupaya muncul sebagai peneraju industri nanas Malaysia dan antara pengeluar utama di peringkat antarabangsa.

Majlis turut dihadiri pengusaha tanaman nanas dari seluruh bahagian Samarahan dan Sibu serta penerima bantuan insentif di bawah projek LPNM Sarawak 2025.

Oleh Adele Rissa

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Tun Wan Junaidi terima kunjungan hormat Premier Sarawak
Next: Inisiatif sejahtera MADANI dilancar, berjaya kumpul dana hampir RM120 juta

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.