
KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) sedang mengusahakan kaedah penyerahan pasport jemaah haji secara digital bagi mengurangkan keperluan mereka hadir secara fizikal ke pejabat cawangan TH.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata inisiatif itu antara langkah TH menambah baik serta meningkatkan kecekapan dalam pengurusan haji demi keselesaan jemaah.
“Dengan itu didoakan semoga pentadbiran dan pengurusan haji Malaysia terus terbaik di dunia, insya-Allah,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai penambahbaikan dilaksanakan TH untuk musim haji 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata pelbagai langkah dilaksanakan oleh TH untuk memastikan pengurusan ibadah haji dilaksanakan sebaik mungkin antaranya pengurusan buku rawatan jemaah haji digital yang diperkenalkan bagi membantu petugas perubatan menyemak rekod kesihatan jemaah secara dalam talian.
“Ini juga bertujuan mengelakkan kehilangan buku rekod rawatan fizikal. Bukan itu sahaja, aplikasi haj mobility juga diperkenalkan bagi memudahkan petugas menyelaraskan pergerakan jemaah sepanjang musim haji,” katanya.
Sementara itu, Zulkifli berkata semua bakal haji Malaysia yang layak menunaikan ibadah itu berjaya memperoleh visa haji termasuk mereka yang berdepan cabaran teknikal semasa pendaftaran biometrik menerusi aplikasi mudah alih Saudi Visa Bio.
Beliau berkata kejayaan itu hasil kerjasama erat antara TH, Kedutaan Arab Saudi dan agensi teknikal berkaitan, namun TH mengambil maklum terdapat sebilangan kecil jemaah haji menghadapi kesukaran mendaftar data biometrik menerusi aplikasi berkenaan.
“Isu ini berpunca daripada faktor teknikal seperti ketidakserasian peranti mudah alih, ketidaktepatan pengimbasan wajah/jari, dan keperluan naik taraf sistem teknikal dari semasa ke semasa sesuai dengan perkembangan terkini,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) mengenai usaha kerajaan menyelesaikan masalah aplikasi Saudi Visa Bio memandangkan segelintir jemaah haji gagal mendaftar data biometrik berulang kali.
Zulkifli berkata dalam hal ini, TH mengambil beberapa langkah proaktif bagi membantu memudahkan jemaah haji menggunakan aplikasi itu seperti menyediakan panduan lengkap serta sokongan kepada jemaah melalui portal rasmi www.tabunghaji.gov.my bagi memuat turun dan menggunakan aplikasi Saudi Visa Bio.
“TH juga mengadakan sesi penerangan semasa kursus asas haji di seluruh negara. Panduan ini juga diterangkan secara jelas dalam surat tawaran haji yang dikeluarkan kepada setiap jemaah.
“Pusat khidmat pelanggan TH di Ibu Pejabat dan pejabat cawangan di semua negeri turut disediakan bagi membantu jemaah yang menghadapi masalah teknikal atau memerlukan bantuan tambahan,” katanya.
Bagi jemaah berumur 80 tahun ke atas, beliau berkata mereka dikecualikan secara automatik daripada proses imbasan biometrik, manakala bagi jemaah mempunyai kecacatan pada wajah atau jari, pengecualian khas diberikan berdasarkan pengesahan perubatan dan dokumen sokongan dimuat naik dalam sistem Saudi Visa Bio.– Bernama