Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • LPNM perkukuh industri nanas Sarawak melalui pendekatan holistik, inklusif
  • SEMASA

LPNM perkukuh industri nanas Sarawak melalui pendekatan holistik, inklusif

Utusan Sarawak 3 days ago
GIMIK… Datu Sirai Daha melakukan gimik pelancaran Sistem e-Pineapple.

KOTA SAMARAHAN: Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) menegaskan komitmennya untuk memperkukuh pembangunan industri nanas di Sarawak menerusi pendekatan holistik dan inklusif yang merangkumi seluruh rantaian nilai dari peringkat pengeluaran di ladang hingga ke pasaran pengguna.

Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairuzamri M. Salleh berkata, Program Hari Bertemu Pelanggan dan Penyampaian Bantuan Insentif Projek LPNM Negeri Sarawak Tahun 2025 yang berlangsung hari ini merupakan platform strategik yang bukan sahaja menjalin hubungan antara LPNM dan pemain industri, malah menjadi lambang kesungguhan agensi itu dalam menyokong kemajuan pertanian bernilai tinggi di negeri ini.

“Kehadiran lebih 200 peserta hari ini daripada pelbagai latar belakang, termasuk wakil agensi kerajaan, usahawan dan pekebun, membuktikan bahawa industri nanas terus mendapat perhatian dan sokongan berterusan di Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Hari Bertemu Pelanggan dan Penyampaian Bantuan Insentif Projek LPNM Negeri Sarawak Tahun 2025, hari ini. 

UCAPAN… Mohd Khairuzamri M. Salleh berucap pada Program Hari Bertemu Pelanggan dan Penyampaian Bantuan Insentif Projek LPNM Negeri Sarawak Tahun 2025,

Menurut beliau, program Hari Bertemu Pelanggan merupakan ruang penting untuk LPNM mendengar secara langsung maklum balas dan cadangan daripada pengusaha tempatan, di samping memperkenalkan khidmat teknikal, bantuan bahan tanaman dan infrastruktur ladang yang ditawarkan.

Malah, inisiatif ini seiring dengan aspirasi kerajaan negeri menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) untuk meningkatkan pendapatan pekebun kepada RM8,000 sebulan menjelang tahun hadapan.

Mohd Khairuzamri turut menegaskan bahawa Sarawak kini merupakan negeri kedua terbesar dari segi keluasan tanaman nanas di Malaysia dengan 2,199.43 hektar direkodkan pada 2024. 

Beliau yakin sasaran untuk mencapai keluasan 20,000 hektar menjelang 2030 bukanlah satu angan-angan, sebaliknya satu visi realistik yang sedang dilaksana secara terancang.

Sepanjang program yang berlangsung hari ini, pelbagai pengisian turut diadakan termasuk pelancaran Sistem e-Pineapple yang menjadikan Sarawak negeri pertama memperkenalkan digitalisasi sistem pengurusan nanas secara holistik. 

Turut berlangsung ialah sesi libat urus antara LPNM dan usahawan, serta pameran oleh agensi dan rakan strategik seperti Agrobank, Kolej ICATS, Queen Pineapple, ACM Sdn Bhd, dan usahawan muda yang menerima Anugerah Pro Tani sempena Hari Nanas Malaysia baru-baru ini.

“Sokongan berterusan daripada kerajaan negeri Sarawak serta komitmen para pemain industri menjadi dorongan kepada LPNM untuk terus mengangkat sektor ini sebagai kebanggaan negara,” katanya sambil menzahirkan keyakinan terhadap masa depan cerah industri nanas di Bumi Kenyalang.

Oleh Adele Rissa

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Sarawak monitors air quality amid rising API readings
Next: Tun Wan Junaidi terima kunjungan hormat Premier Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.